Followers

Sunday, December 19, 2010

OKU Bukti Kebolehan Dalam Aktiviti Bersukan

14 Disember, 2010 13:26 PM

OKU Bukti Kebolehan Dalam Aktiviti Bersukan

Oleh Mohamad Bakri Darus

MELAKA, 14 Dis (Bernama) -- Hati mana tidak terusik apabila melihat atlet dengan pelbagai kecacatan bersaing di gelanggang dengan tekad dan semangat yang begitu tinggi untuk menang pada Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-15 di sini baru-baru ini.

Sama ada acara trek, padang atau di dewan, aksi yang dipamerkan seolah-olah mereka tidak mengalami kecacatan dan adakalanya kemampuan sesetengah mereka boleh mengalahkan insan normal.

Pada kejohanan enam hari bermula 21 Nov lepas, seramai 1,415 atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 15 kontinjen negeri menyertai sukan dwitahunan yang mempertanding 16 jenis sukan.

Sukan yang dipertanding ialah badminton, basikal, boccia, bola keranjang kerusi roda, boling padang, catur, futsal, goal ball, olahraga, perahu layar, petanque, ping pong, power lifting, renang, tenis kerusi roda dan boling tenpin.

Daripada 1,415 atlet OKU itu, seramai 208 merupakan OKU berkerusi roda, cacat anggota (361), lumpuh (24), cacat penglihatan (290), spastik (104), terencat akal (250), pendengaran (143) dan kerdil (35).

Kejohanan itu menawarkan 1,750 pingat, daripada jumlah itu sebanyak 571 pingat emas, perak (571) dan gangsa (608).

Namun begitu atlet-atlet OKU ini masih memerlukan banyak lagi bantuan daripada kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan serta sokongan daripada masyarakat.

Dipercayai masih terdapat ramai lagi OKU yang berada di rumah tanpa dibawa bersukan dan berekreasi walaupun diketahui aktiviti ini boleh membangunkan fizikal dan minda mereka.

PEMBANGUNAN SUKAN UNTUK OKU

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mempunyai peranan besar terhadap pembangunan sukan untuk golongan OKU meliputi perspektif fizikal dan minda.

Presiden MPM Datuk Zainal Abu Zarin berkata MPM melihat bidang sukan dalam skop yang luas dengan maksud sukan untuk terapi, pemulihan, pembangunan dan meluaskan skop minda golongan OKU.

"Bidang sukan ini, bidang sosial di mana apabila mereka bermain, mereka lupa kecacatan, mereka jadi seronok," katanya kepada Bernama di sini.

Zainal yang lebih 20 tahun berkecimpung dengan dunia sukan OKU, berkata MPM sedang menggiatkan usaha membangunkan sukan OKU di peringkat akar umbi dengan menggalakkan semua OKU melibatkan diri dalam sukan.

"Kita harap mereka keluar rumah dan berkecimpung dalam dunia sukan, sukan di peringkat akar umbi ini adalah pembangunan sukan untuk semua tak kira apa jenis kecacatannya asalkan dia seronok bermain dan berkawan," katanya.

Melalui program pembangunan sukan peringkat akar umbi itu, beliau berharap lebih ramai bakat baru dari kalangan OKU dapat ditonjolkan dan diambil untuk diberi latihan secara sistematik oleh jurulatih berpengalaman.

"Kita harap jurulatih akan pilih orang ini dan perkenalkan cara bermain yang betul supaya mereka boleh bermain sukan secara kompetitif agar pada suatu hari nanti, dia boleh bermain untuk kelab, mewakili negeri dan kebangsaan," katanya.

SUKAN MEMBINA DIRI OKU

Beliau berharap sukan dapat membina diri OKU dalam pelbagai aspek bukan sahaja fizikal, emosi, kesihatan tetapi juga dari segi kecemerlangan yang boleh mereka sumbangkan untuk bangsa dan negara seperti atlet sukan lain.

Katanya atlet OKU yang menunjukkan bakat dan prestasi cemerlang akan berpeluang bersaing di kejohanan peringkat kebangsaan, Asean, Asia, Komanwel dan Olimpik.

"Sebagaimana yang kita lihat pada Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-15 Melaka ini, terdapat ramai atlet OKU berprestasi cemerlang dan berpotensi mewakili negara ke peringkat kejohanan lebih tinggi seperti Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada 12-29 Dis ini," katanya.

Beliau berkata atlet OKU yang cemerlang akan mendapat hadiah insentif sama dengan atlet lain yang diperuntuk Majlis Sukan Negara.

Bagi pemantauan kegiataan sukan OKU di peringkat akar umbi, MPM bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU (Pesron) di semua negeri.

"Pesron menjadi penggerak peringkat negeri, dia kena rapat dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Majlis Sukan Negeri dalam merancang pembangunan sukan untuk golongan ini, di mana melibatkan 25 jenis sukan," katanya.

Beliau berkata Pesron juga bertanggungjawab untuk mendapatkan lebih ramai jurulatih dan pegawai teknikal yang sekarang ini dilihat menjadi antara kekangan untuk memberi latihan kepada OKU yang berminat untuk bersukan.

KEMUDAHAN UNTUK OKU MASIH KETINGGALAN

Mengenai kemudahan sukan untuk golongan OKU, Zainal kelihatan agak kecewa kerana kemudahan untuk golongan itu masih jauh kebelakang sekiranya ditinjau di setiap negeri.

"Kita lihat kemudahan yang disediakan, tak usah kata peringkat daerah, peringkat negeri dan kebangsaan sekali pun masih lagi kekurangan, kita mungkin ada kesedaran atas kertas tetapi dari segi perlakuan sangat perlahan," katanya.

Beliau berkata kekurangan prasarana itu juga menjadi kekangan untuk menggalakkan lebih ramai OKU melibatkan diri dengan sukan.

"MPM bersama KBS sudah bersetuju supaya sukan paralimpiad ini dianjur secara bergilir-gilir oleh negeri-negeri sebagaimana Sukan Malaysia (Sukma) iaitu mana-mana negeri yang menganjurkan Sukma, negeri itu juga menganjur Sukan Paralimpiad Malaysia.

"Dengan cara ini kita berharap kemudahan sukan untuk OKU juga dibangunkan seiring dengan persiapan untuk Sukma," katanya.

Zainal berharap semua pihak akan memberi perhatian secara adil kepada pembangunan Sukan OKU dan tidak lagi mengkelaskan sukan OKU sebagai sukan minoriti.

"Kalau dikelaskan sebagai sukan minoriti maka peruntukan kerajaan untuk sukan OKU pun sedikit, sepatutnya merekalah golongan yang perlu banyak ditolong," katanya.

Beliau berkata MPM akan menganjurkan seminar pada Februari depan bagi membentuk perancangan pembangunan sukan untuk OKU hingga menjelang tahun 2020.

PUSAT KECEMERLANGAN SUKAN

Zainal juga berkata sebuah pusat kecemerlangan sukan bagi golongan OKU yang sedang dibina oleh KBS dengan kos kira-kira RM50 juta, di Kampung Pandan Kuala Lumpur, diharap dapat membantu meningkatkan prestasi atlet.

Katanya pusat latihan berprestasi tinggi itu yang dijangka siap November tahun depan, akan membolehkan atlet OKU membuat persediaan rapi menghadapi temasya sukan tempatan dan antarabangsa.

Antara kemudahan di pusat di tapak seluas 1.84 hektar itu, yang direka bagi memenuhi kehendak atlet OKU ialah blok pentadbiran, blok asrama bagi 300 orang, gelanggang berbumbung yang menempatkan kolam renang serta gelanggang sukan, lapangan memanah dan kemudahan infrastruktur yang lain.

Mengakhiri temubual ini, Zainal berkata Malaysia patut mencontohi China tentang bagaimana mereka membangunkan kemudahan untuk golongan OKU yang dilihat jauh ke hadapan.

-- BERNAMA

Monday, December 6, 2010

Kemahiran di usia 11 tahun

1. Bowling avarage 60 pin.
2. Boleh menolak bola pole dengan baik.
3. Boleh menjentik buah carrom dengan penuh gaya.
4. Boleh bermain yoyo.
5. Boleh mencari cerita kegemaran di Youtube.

Sunday, December 5, 2010

Happy Birthday Sayang



Hari ini hari jadi saya,ibu dan abah belikan kek untuk saya.

Tuesday, September 21, 2010

Membina Keupayaan 'Gerak Halus' Dalam Anak Sindrom Down Oleh Zulkiple Ibrahim

21 September, 2010 11:51 AM


KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Sememangnya diketahui umum tentang kelemahan pada 'kebolehan atau keupayaan motor halus' dalam diri anak yang mengalami Sindrom Down.

"Keupayaan motor halus adalah kebolehan menguasai otot-otot kecil yang menggerakkan tangan serta jari. Perkembangan keupayaan ini membantu anak-anak Sindrom Down menyelesaikan beberapa aktiviti seperti menulis dan mewarna serta aktiviti lain seperti menyuap makanan dan membutangkan baju.

"Bagaimanapun, aspek ini tidak boleh dikembangkan dengan sekelip mata sahaja tetapi hanya boleh dicapai merentangi masa dan melalui latihan", kata pakar terapi gerak kerja Junaleth Dalupang Chiong.

Beliau yang lebih gemar dipanggil 'June' merupakan warga Filipina yang bertugas sebagai pakar terapi anak-anak Sindrom Down di Jabatan Terapi Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) di Petaling Jaya dekat sini.

Kata June, terdapat empat aspek kebolehan motor (gerak) halus anak Sindrom Down yang perlu 'bantuan'. Empat aspek ini adalah kekuatan (cubit dan genggam), deksteriti (manual serta jari-jemari), koordinasi/pengimbangan (gerak imbangan mata-tangan serta gerak imbangan lengan-tangan) selain kebolehan taktil.

KEKUATAN

"Satu daripada ciri-ciri anak Sindrom Down adalah tonus otot yang lemah. Mereka menghadapi cabaran serta kesukaran yang ketara dalam aspek ini kerana kelemahan otot serta kelonggaran ligamen.

"Mereka perlu otot yang lebih kuat supaya dapat memegang dan menggenggam objek menggunakan tangan dan jari", kata beliau.

June menyarankan beberapa aktiviti bagi membina kekuatan dalam diri anak Sindrom Down.

"Aktiviti seperti bermain 'tanah liat', botol picit/penitik ubat, gerak jalan seperti cara haiwan bergerak dan beberapa gerak jalan lain antaranya seperti menolak kereta tolak, berjalan seperti beruang atau ketam boleh membantu anak-anak ini membina kekuatan.

"Aktiviti lain seperti membawa beg, atau mengangkat kotak yang tidak berapa berat dan yang mempunyai pemegang turut membantu. Lain-lain ialah bermain tarik tali dan sepit pakaian/baju", kata beliau.

KOORDINASI, IMBANGAN

Menurut June, kelemahan keupayaan koordinasi/pengimbangan boleh mencacatkan kebolehan motor.

"Disebabkan masalah penglihatan dan tonus otot yang rendah, anak Sindrom Down mempunyai masalah mengimbangi pergerakan mereka kerana mata mengawal serta mengarah dan memberi panduan kepada tangan bagi menyelesaikan sesuatu fungsi atau tugas", kata beliau.

June juga menyarankan beberapa aktiviti yang boleh membantu mempertingkatkan koordinasi dalam diri anak Sindrom Down.

Antara aktiviti ini ialah mengikat kad yang telah disusun, mengatur kad, menyambung beberapa objek menggunakan satu tali dan mengatur objek mengikut bentuk.

"Anak Sindrom Down perlu digalakkan mengguna sudu, penceduk, senduk bagi memindahkan bahan serta memenuhkan bekas dalam pelbagai bentuk dan saiz.

"Mereka juga perlu digalakkan terlibat dalam aktiviti yang menggunakan kedua-dua belah tangan di mana satu tangan akan memegang objek dan sebelah tangan lagi akan membuat gerak manipulasi. Kedua-dua belah tangan haruslah bergerak aktif", kata beliau sambil menambah kanak-kank Sindrom Down perlu digalakkan melakukan aktiviti nyanyian yang melibatkan gerak tangan.

DEKSTERITI

"Kerana mempunyai masalah dalam aspek koordinasi, anak Sindrom Down mengalami kesukaran dalam manipulasi tangan seperti mengambil, menggenggam dan menyambung barangan serta objek besar dan kecil sama ada dengan menggunakan sebelah atau kedua-dua belah tangan.

"Biasanya tangan yang dominan akan memulakan pergerakan dan tangan sebelah lagi (bukan dominan) akan membantu dari segi kestabilan. Tangan ini juga dikenali sebagai tangan pembantu".

Beiau menyarankan aktiviti seperti gerak yang menggunakan jari dalam membuka dan menutup objek secara memutar atau putaran. Aktiviti lain adalah menutup/membuka bekas barang yang kecil atau besar, menggunakan peralatan yang boleh disambung dan diceraikan seperti permainan lego dan memasukkan 'skru' ke dalam 'bolt'.

"Anak Sindrom Down juga boleh dilibatkan dalam 'aktiviti mengutip' seperti mengutip duit syiling, butang dan mereka juga boleh mengutip kad-kad yang sudah dilaminasi serta menguis tutup botol", kata june.

KEBOLEHAN SENTUH, TAKTIL

Deria sentuh atau taktil adalah penting bagi setiap situasi. Masalah taktil bagi anak Sindrom Down menganggu kebolehan mereka berfungsi secara efektif.

"Kalau anak anda dari yang amat sensitif, mereka mungkin memberi reaksi yang lebih walaupun pada stimulus yang kecil terutama sentuhan daripada mereka yang tidak dikenalinya.

"Anak yang mempunyai masalah taktil akan mempunyai masalah dalam gerak motor halus kerana otak mereka tidak menerima isyarat yang sepatutnya".

Isyarat-isyarat ini adalah penting bagi gerak-gerak kebolehan yang penting seperti menulis, menyuap makanan dan memakai pakaian.

June juga menyarankan aktiviti yang boleh membantu seperti memberus tangan dengan menggunakan berus surgikal, mewarnakan jari serta mendedahkan tangan mereka kepada tekstur yang berlainan seperti air dan pasir.

"Aktiviti ini boleh membantu keupayaan gerak halus mereka", tambah beliau lagi.

-- BERNAMA

Sunday, September 12, 2010

Wednesday, September 8, 2010

Monday, September 6, 2010

Tuesday, August 3, 2010

Akta bela nasib OKU jangan sekadar retorik

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my
2010/08/03

Ruang bantu golongan cacat perlu diperluas elak jadi mangsa diskriminasi, dipinggirkan

KATAKAN apa saja istilah – Orang Kurang Upaya (OKU), orang kelainan upaya, orang cacat, golongan istimewa atau apa saja– nasib mereka tidak banyak berubah. Yang terbanyak adalah berada di bawah paras kemiskinan. Yang berjaya pula setakat lima peratus.

Sejak negara merdeka 53 tahun lalu, nasib OKU tidak banyak mendapat pembelaan kerajaan berbanding rakan mereka di Britain, Jerman dan Finland. Jika negara maju banyak mengutamakan kebajikan OKU dalam prospek pembangunan prasarana negara, Malaysia lebih banyak bercakap, keluhan dan bersimpati, namun terlalu sedikit menyediakan ruang membantu golongan cacat. Malah, kementerian yang diwujudkan khusus untuk membantu OKU seperti hilang fokus dan lebih membicarakan isu sosial, buang bayi, masalah janda dan wanita daripada masalah OKU yang melarat sekian lama.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 peratus jumlah penduduk sesebuah negara dikategorikan sebagai cacat. Ini bermakna 2.7 juta penduduk Malaysia menghadapi masalah kecacatan. Sehingga Disember 2009, hanya 267,513 OKU berdaftar di negara ini. Ramai yang tidak mendaftar kerana alasan tersendiri. Ramai juga merasakan kerajaan tidak banyak membuat apa-apa untuk membantu OKU, sekadar retorik dan seminar yang akhirnya tidak melaksanakan apa-apa.

Masalah OKU di Malaysia terlalu banyak dan sepatutnya kita sudah mempunyai pelaksanaan untuk menyelesaikan masalah. Peluang pekerjaan amat terbatas walaupun segelintir mereka mempunyai kelulusan dan kemahiran yang setaraf dengan orang ramai.

Siti Huraizah Ruslan antara contoh OKU yang cemerlang dalam pendidikan, namun dinafikan peluang untuk mengisi jawatan setimpal kemampuannya. Dia gagal memohon jawatan pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi kerana penemuduga memberi alasan kecacatan penglihatan bakal menyukarkan tugasnya mendidik siswa di menara gading.

Walaupun dia lulus cemerlang di pusat pengajian tinggi sama, penemuduga mempunyai alasan tersendiri untuk menafikan keupayaannya bekerja. Dia kini sekadar bertugas di suatu tempat yang tidak setimpal dengan kelulusan dan kemahiran dimiliki. Dia dinafikan hak kerana cacat penglihatan. Dia hanya dibayar gaji RM1,200 sebulan walaupun antara graduan cemerlang.
Seorang warga cacat yang lain pula terpaksa berdepan kerenah birokrasi apabila menemui kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di premis Hentian Bas Kajang, Selangor. Dia mahu menggantikan kad pengenalan OKU yang sudah rosak. Malangnya hasrat itu tergendala apabila kakitangan JKM dengan tegas menolak permohonannya kerana alasan tiada surat pengesahan doktor.

“Kami tidak boleh proses permohonan tanpa surat pengesahan doktor,” tegas pegawai JKM sambil menghulurkan borang yang perlu diisi oleh doktor kerajaan.

Saya sudah ada kad OKU, hanya mahu menggantikan yang baru. Kad OKU lama mengesahkan saya cacat anggota. Encik lihat saya bertongkat yang mengesahkan saya OKU. Apakah ini pun perlu surat doktor untuk mengesahkan sesuatu yang sudah sah? Apakah JKM tidak mempunyai rekod OKU yang sudah berdaftar?”

Pegawai JKM itu tetap menolak rayuan berkenaan kerana dia terikat dengan kerenah birokrasi jabatan kerajaan.

Di Malaysia, isu kerenah birokrasi tidak pernah sunyi di jabatan kerajaan dan tidak pernah selesai. Hampir semua jabatan kerajaan menjadi tumpuan umum kerana isu remeh yang sepatutnya diperbetulkan sesuai konsep 1Malaysia.

Akta OKU yang dikuatkuasakan pada Julai 2008 sepatutnya berjalan lancar untuk menyediakan peluang dan ruang kepada golongan cacat. Di atas kertas, ia seolah-olah berperanan memberi pengiktirafan hak kepada golongan itu yang memperuntukkan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan pembangunan dan kesejahteraan OKU.

Namun sehingga kini keberkesanan masih menjadi pertanyaan umum. Apakah akta diwujudkan sekadar ‘ada-ada’ atau masih berfungsi membantu OKU di negara ini.

Ramai OKU gagal mendapat pekerjaan setimpal meskipun mempunyai kelayakan dan kemahiran. Memang diakui peluang pekerjaan amat terhad tetapi Akta OKU masih berperanan untuk menggariskan panduan kepada sektor awam dan swasta menyediakan peluang kepada OKU berkhidmat. Majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU sepatutnya menerima insentif dan hal ini sepatutnya digariskan menerusi bajet negara dan dipertegaskan juga dalam rancangan pembangunan lima tahun.

Tanpa penguatkuasaan akta, usaha membantu OKU menjadi sia-sia kerana minda kelas ketiga masih tebal di Malaysia walaupun mempunyai kemudahan prasarana kelas pertama.

JKM melancarkan program Job Coach sejak 2006 bagi membantu golongan OKU mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan masa depan cerah. Bagaimanapun, keberkesanannya masih misteri. Apakah program itu dapat menyelesaikan masalah ekonomi OKU yang kini masih ramai jadi pengemis, pemuzik jalanan atau pekerja bawahan.

Setakat Disember 2009, seramai 766 OKU berkhidmat di sektor awam, 7,683 lagi mendapat pekerjaan melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Seramai 26,422 orang lagi mendapat pekerjaan, membuka perniagaan sendiri atau menerima Elaun Pekerja Cacat daripada kerajaan. Angka itu terlalu kecil berbanding 2.7 juta warga OKU di negara ini. Bagaimana pula taraf ekonomi mereka?

Masalah lain yang sering menjadi isu dalam membela nasib golongan OKU ialah aspek infrastruktur dan kemudahan awam. Pengangkutan awam sudah menyediakan ruang khusus untuk OKU. Bagaimanapun masih banyak bangunan awam tidak mesra OKU. Tangga bergerak tidak sesuai untuk pengguna cacat anggota dan cacat penglihatan.

Sunday, August 1, 2010

Susu dalam diet kanak-kanak

Susu merupakan sumber pemakanan penting yang sering kali diambil ringan oleh ramai orang. Ia bukan sahaja penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar malah sepanjang hayat.

Sebenarnya susu atau susu badan, merupakan makanan pertama bayi dan satu-satunya sumber pemakanan semasa enam bulan pertama kehidupannya. Ia membekalkan semua zat makanan penting yang diperlukan untuk hidup dan tumbesaran.

Bagaimanapun, susu masih perlu dijadikan sebahagian daripada diet kanak-kanak selepas usia enam bulan. Di samping mengandungi kalsium, ia turut mengandungi zat makanan penting lain seperti protein, vitamin A, riboflavin, zat besi dan fosforus yang penuh dengan manfaat kesihatan.

Penyelidikan sentiasa menunjukkan kanak-kanak dan dewasa yang minum susu akan kurang berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular, obesiti dan osteoporosis.

Mengapa susu?

Anda mungkin tertanya mengapa susu penting dalam diet kanak-kanak. Mengapa tidak makanan atau minuman lain?

Susu kaya dengan kalsium. Kalsium disarankan untuk kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan dan kesihatan gigi dan tulang yang kuat.

Pengambilan susu yang mencukupi dari peringkat kanak-kanak bukan sahaja boleh mencegah osteoporosis di kemudian hari, malah ia turut membantu mencegah kehilangan kalsium dan fosfat daripada gigi bagi memastikan satu set gigi yang lengkap sepanjang hayat.

Di samping itu kalsium juga penting untuk melancarkan degupan jantung, pemulihan luka dan pengecutan otot.

Menurut Saranan Pengambilan Nutrien (zat makanan) atau RNI, kanak-kanak kecil antara usia satu hingga tiga tahun memerlukan sekurang-kurangnya 500 miligram (mg) kalsium sehari yang boleh diperoleh dengan mudah daripada 1-2 cawan susu.

Sebagai satu daripada makanan yang paling lengkap zat, susu membekalkan sejumlah besar zat makanan berbanding kepada jumlah tenaganya.

Sebenarnya, segelas susu mengandungi lebih banyak zat makanan daripada segelas jus epal, jus oren atau sebarang minuman lain (lihat jadual).

Susu juga menghilangkan rasa lapar dengan segera. Tahukah anda bahawa 32.1 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak bersarapan pagi setiap hari.

Setelah berpuasa selama 8-10 jam semasa tidur, sarapan pagi yang berkhasiat adalah penting untuk mengembalikan tenaga.

Semua orang tahu bahawa kanak-kanak yang tidak bersarapan pagi kurang bertenaga, tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah dan mudah letih serta rasa jengkel.

Segelas susu suam adalah baik sebagai sarapan pagi ringkas dan segera, terutama sekali apabila diambil bersama makanan lain, kerana ia sangat berkhasiat dan mengandungi semua mineral dan vitamin penting yang diperlukan untuk tubuh dan minda yang sihat.

Makanan sihat untuk anak

Makanan sihat untuk anak

Anak saya kini berusia 1 tahun 6 bulan. Saiz badannya agak gempal. Penyusuan badan diberikan sehinggalah beliau berusia setahun. Selepas tidak lagi menyusu badan, anak saya jadi kuat makan. Dia makan hampir semua jenis makanan termasuklah makanan orang dewasa yang pedas.

Jawapan

Bukan semua makanan orang dewasa sesuai untuk anak kecil. Makanan orang dewasa biasanya mengandungi bahan perisa dan pewarna tambahan berlebihan yang tidak sesuai untuk anak kecil, malah kandungan zat pemakanan yang diperlukan juga berbeza.

Mempelbagaikan pengambilan makanan adalah digalakkan untuk memenuhi keperluan tubuh yang semakin meningkat. Namun dalam masa yang sama, langkah berhati-hati perlu bukan sahaja untuk mengelak kemungkinan alahan dan juga masalah yang berkaitan masalah penghadaman seperti kembung, cirit-birit, sembelit dan sebagainya. Walaupun anak anda makan apa sahaja, namun pilihlah makanan yang sesuai dengan peringkat tumbesaran di mana nutrien dengan kuantiti yang diperlukan juga berbeza.

Apa yang penting adalah nutrien yang diperlukan, bukan sekadar untuk tumbesaran fizikal tetapi juga perkembangan minda. Otak dan sel saraf mengandungi asid lemak tak tepu berantai panjang (LCPs) yang sangat tinggi, manakala Asid dokosaheksanoik (DHA) dan Asid arakidonik (AA) merupakan LCPs yang utama. DHA, komponen struktur utama tisu otak dan retina mata. Ia penting khususnya pada dua tahun pertama dan peringkat awal kanak-kanak apabila otak dan mata mengalami perkembangan yang pesat.

AA dan asid gama linolenik (GLA) daripada asid lemak Omega-6 tidak kurang pentingnya. AA hadir dalam membran sel tubuh yang diperlukan untuk penghantaran mesej di sepanjang saraf dan fungsi ingatan yang normal. AA juga penting dalam perkembangan penglihatan, keupayaan belajar dan koordinasi. DHA, AA dan GLA diperlukan untuk perkembangan otak dan dengan sebab inilah formulasi gabungan Omega-3 dan Omega-6 penting semasa tumbesaran.

Friday, July 30, 2010

New Research Shows The Kids' Healthy Food Battle Begins At Home

30 Julai, 2010 16:10 PM

New Research Shows The Kids' Healthy Food Battle Begins At Home

WELLINGTON, July 30 (Bernama) -- A new research from New Zealand's University of Otago suggests that healthy food battle among children should begin from home, reports China's Xinhua news agency on Friday.

In a study published in the journal Public Health Nutrition, New Zealand Department of Human Nutrition researchers said that the family environment and food provided from home, is the anchor of nutrition for New Zealand children.

The results also suggested that parents should take more responsibilities in preparing their children's food choices.

Co-author Winsome Parnell said the research found that children's average daily cholestrol intake was higher because they were twice as likely to eat hot chips on their days off.

However, Parnell admitted that there was no "quick fix" in improving children's diets, and need better access to healthier food.

The research was based on interviews with 2,572 children aged between five and 14.

-- BERNAMA

Wednesday, July 14, 2010

Aksi akrobatik latih otak




NASREEN MA, 32, memegang erat kedua-dua tangan anaknya, Alicia, dengan kedudukan si comel itu bersandar pada tubuhnya sementara kepalanya pula ke bawah. Hujung kedua-dua kaki Alicia terpaut kemas pada bahu ibunya itu. Dalam satu pergerakan pantas, kaki Alicia dilepaskan lalu badan anak kesayangannya itu kembali dalam kedudukan tegak.

Bagaikan baru saja selesai melakukan aksi jungkir balik, Alicia kini membuat lagak 'ngeri' yang seterusnya. Hujung kedua-dua kaki dan tangannya dipegang dengan bantuan seorang ahli terapi. Dalam keadaan tergantung melintang itu, Alicia dihayun dari kiri ke kanan selama dua minit.

Melihat aksi-aksi yang menyerupai latihan gimnastik itu memang cukup menyeramkan. Namun begitu, kanak-kanak yang baru berusia dua tahun itu pula langsung tidak takut atau menangis. Dia sebaliknya gembira dengan aktiviti itu sambil tersenyum dan sesekali ketawa terkekeh-kekeh.

Itu bukan pertama kali dia diajar melakukan pergerakan mencabar seumpama itu. Sejak berusia lapan bulan, Alicia sudah pun diajar oleh Nasreen untuk berbuat demikian.

Menurut Nasreen, semasa berusia lapan bulan Alicia seperti bayi lain yang menunjukkan respons asas seperti menggerak tangan, kaki dan kepala serta peka terhadap bunyi dan warna.


DAYA (kanan) dan Nasreen melakukan pergerakan asas kepada Alicia untuk perkembangan otak.


"Ketika berada dalam fasa meniarap, Alicia semakin menunjukkan tanda-tanda untuk berdiri dan mengatur langkah pertama. Perbuatannya itu amat membimbangkan saya kerana dia langsung tidak cuba untuk merangkak sebelum berjalan.

"Sungguhpun ada ibu bapa yang teruja melihat anak mereka cepat berjalan, tetapi bagi saya ia sesuatu yang luar biasa," ujar Nasreen.

Baginya, lumrah seseorang bayi ialah mereka perlu merangkak sebelum tahu berjalan. Nasreen percaya, jika bukan begitu turutannya perkembangan otak bayi boleh terjejas. Fasa merangkak kata Nasreen, amat penting kerana integrasi asas untuk perkembangan daya penglihatan kedua-dua belah mata sedang berlaku.

Integrasi visual itulah yang akan membantu proses pembacaan, kosentrasi dan tumpuan di dalam bilik darjah.

Menyedari kepentingan proses merangkak itu, ibu muda itu lantas mendapatkan nasihat dan panduan daripada pakar terapi Neuro Network, Daya Bhagwandas, 52.

Pengasas pusat pengajaran pendidikan saraf yang kini berpangkalan di Burwood, Australia itu menyediakan perkhidmatan patologi pertuturan, audiologi dan terapi bunyi. Berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang perkembangan otak dan neuron, Daya banyak mengadakan program untuk menyedarkan para ibu bapa tentang potensi kepintaran anak-anak mereka.

Nasreen memberitahu, anak sulungnya itu telah menjalani beberapa sesi latihan pergerakan di bawah penyeliaan Daya. Alicia dibaringkan di atas meja sambil menggerak tangan, kaki serta kepala secara serentak.

Sesi latihan


KANAK-KANAK lain mungkin ngeri dengan aksi sebegini tetapi tidak Alicia.


Terapi yang dikenali sebagai cross pattern itu lama-kelamaan membuatkan Alicia merangkak dengan sendiri. Difahamkan, Alicia telah merangkak selama enam bulan sebelum berjalan.

Tambah Nasreen, kebanyakan ibu bapa terutama yang baru berkahwin kurang peka pergerakan asas seseorang kanak-kanak. Pergerakan asas yang betul amat penting demi mencetuskan kecerdasan anak-anak. Anak-anak sebenarnya pantas memahami dan mempelajari setiap yang diajar oleh ibu bapa mereka.

Penjelasan wanita itu memang benar. Selain membuat aksi pergerakan mencabar pada usia yang terlalu muda, kebolehan anak kecil itu membaca nombor melalui kepingan kad dengan cetakan berbentuk bulat amat mengagumkan.

Menurut Nasreen, berbanding bentuk numerikal, permainan kad dengan cetakan geometri berwarna lebih efektif untuk mengajar anak-anak tentang pengiraan. Ia merangsang visual kanak-kanak dan perkembangan minda terutamanya pada otak bahagian kanan.

Menjelaskan tentang perkembangan otak dan pembelajaran otak kanan, Daya berkata, otak manusia bagaikan satu sistem komputer rumit yang dikawal oleh dua bahagian.

Kedua-dua bahagian itu mempunyai kemahiran dan cara berfikir yang berbeza. Bahagian kanan otak memproses maklumat dengan cepat, melewati ruang dimensi fizikal dan membuat tanggapan tepat. Otak kiri pula memproses dengan cara yang berbeza tetapi dalam bentuk lisan yang lebih kompleks atau berbentuk analisa.

Dominasi otak

"Pada asasnya, manusia berfikir menggunakan keseluruhan otak. Bagaimanapun, satu bahagian daripadanya lebih menguasai atau mendominasi. Semasa berfikir misalnya, otak seumpama bercakap sendiri," katanya.

Jelas Daya, satu bahagian akan lebih mendominasi untuk mengeluarkan kata-kata atau memberi arahan. Bahagian yang mendominasi akan merancang personaliti hidup seseorang manakala bahagian yang sebelah lagi memberi respons terhadap tekanan atau krisis.


ALICIA (kanan) menunjukkan kebolehannya membaca nombor melalui kepingan kad dengan cetakan bulat.


"Amat menguntungkan jika seseorang berusaha untuk mengembangkan kedua-dua bahagian otak kerana ini akan menambahkan lagi maklumat dalam menyelesaikan masalah.

"Jika anda dapat menguasai proses dominasi otak kiri dan memperkembangkan otak kanan pasti boleh menjadi seorang yang lebih kreatif dan bijak," kata wanita yang telah memperkenalkan Neuro Network sejak enam tahun yang lalu di beberapa buah negara luar termasuk Malaysia, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Ujar Daya, ketika kecil seseorang amat bergantung kepada fungsi otak kanan yang merangsang imaginasi dan visual. Sebab itu, kanak-kanak cenderung mengaju soalan-soalan yang di luar imaginasi ibu bapa. Mereka juga mampu bercakap seberapa banyak bahasa hanya melalui mendengar percakapan seseorang.

Kesemua itu boleh dilakukan disebabkan fungsi otak kanan. Antaranya memori fotografi, mendengar dan baca dengan pantas, kreativiti, muzik, seni dan kemampuan mempelajari banyak bahasa.

Bagaimanapun, dari alam sekolah sehingga dunia kerjaya, ramai yang hanya menekankan pada kemampuan otak kiri.

"Program pendidikan di Neuro Network menekankan tentang kepentingan melatih otak kanan. Bagaimanapun, perkembangan otak itu perlu diberi perhatian dari peringkat bayi sehingga ia berusia enam tahun.

Apabila proses koordinasi gagal berlaku secara sempurna maka seseorang akan mengalami masalah apabila dewasa. Di sini pergerakan merangkak memainkan peranan penting.

Daya memberi penekanan tentang fasa merangkak: "Jikalau seseorang anak tidak melalui proses merangkak dengan sempurna maka proses koordinasi akan menjadi lemah hingga boleh menimbulkan masalah penglihatan, sentuhan, tumpuan, keseimbangan badan dan pernafasan.

Dalam pada itu, programnya juga turut menekankan tentang proses visual ataupun imaginasi yang terdapat pada otak kanan. Kebolehan visual membantu kanak-kanak mempelajari sesuatu dengan lebih cepat dan gembira. Kemahiran visual yang baik amat penting untuk mempelajari mata pelajaran seperti Matematik, Sastera dan bahasa.

Saturday, April 24, 2010

Wednesday, April 14, 2010

Teknik Baru Dalam Mendidik Kanak-kanak Autistik

14 April, 2010 09:51 AM

Daripada Hafizah Kamaruddin

WASHINGTON, 14 April (Bernama) -- Kejayaan sekolah Ivymount di Rockville dekat sini membantu kanak-kanak autistik supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi melalui teknik pengajaran dengan muzik, nyanyian serta tarian menarik perhatian Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata kejayaan sekolah itu, yang merupakan sekolah harian bukan berasaskan keuntungan "amat memberangsangkan".

"Walaupun kanak-kanak ini lembam dan autisme, tetapi mempunyai bakat yang tersendiri dalam diri mereka, dan jika diberi pendedahan dalam muzik, mereka bukan sahaja ada bakat tetapi juga mampu mengubah lagu dan sebagainya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Selasa.

Rosmah, yang juga Presiden Bakti, berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama anggota badan itu ke sekolah Ivymount, yang terletak kira-kira 20km dari ibu kota Amerika Syarikat.

Sekolah itu yang ditubuhkan hampir 50 tahun lepas bermula dengan seorang pelajar kini mempunyai lebih 200 pelajar berumur dari empat hingga 21 tahun yang mempunyai "kekurangan keupayaan termasuk kurang daya kebolehan pembelajaran khusus, pelbagai kekurangan berkomunikasi atau kelemahan bahasa, kecacatan mental dan masalah kesihatan lain dan autisme.

Rosmah juga amat tertarik dengan sistem pengajaran sekolah itu yang turut mengajar pelajarnya berdikari dengan menjual makanan dan mengutip derma untuk mangsa bencana alam yang merupakan satu pembelajaran mengenai tanggungjawab sosial.

Beliau berkata pihaknya banyak belajar daripada lawatan berkenaan, dan yakin jika pihaknya mendapat dorongan serta geran daripada kerajaan, mereka mampu mewujudkan sekolah seumpamanya di Malaysia.

Rosmah berkata program sekolah itu, bagaimanapun perlu diubah suai bagi menepati acuan dan keperluan kanak-kanak autisme di Malaysia.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai sekolah khas sedemikian setakat ini, beliau berkata teknik pengajaran dengan penekanan kepada muzik sudah mula diadakan.

Terdahulu, semasa berucap Rosmah berkata antara sebab Bakti mengadakan lawatan itu adalah untuk mempelajari teknik baru yang digunakan oleh sekolah yang menawarkan pendidikan kanak-kanak istimewa, untuk digunakan di Malaysia.

Beliau berkata Bakti yang aktif membantu pertubuhan dan organisasi yang memberikan penjagaan kepada kanak-kanak istimewa akan mengadakan satu karnival di Kuala Lumpur pada November tahun ini, bertujuan mendidik mereka mengasimilasikan diri ke dalam masyarakat serta menggalakkan orang ramai membeli barangan kraf yang dihasilkan mereka.

Rosmah satu pertandingan nyanyian bagi golongan istimewa ini akan turut diadakan di peringkat daerah dan pertandingan akhir dilangsungkan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata isteri para Menteri Besar dan Ketua Menteri, yang turut serta dalam lawatan itu, dapat memperoleh sebahagian ilmu dalam pendidikan dan mengasuh kanak-kanak istimewa memandangkan mereka juga bertanggungjawab menjaga kebajikan golongan berkenaan di negeri masing-masing.

Rosmah berada di Washington mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan dan menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear, yang bermula Isnin atas jemputan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Lawatan Rosmah turut disertai lebih 20 anggota Bakti, termasuk isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah.

Isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datin Seri Shuryani Shuaib dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Prof Datin Seri Aishah Salleh.

Turut serta adalah isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Ketua Menteri Melaka Datin Seri Datuk Wira Asmah Abdul Rahman, isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Faridah Tussin dan isteri Menteri Besar Pahang Datin Seri Junaini Kassim.

Pengarah Sekolah Ivymount Janet Wintrol dalam taklimatnya berkata sekolah itu mempunyai 206 guru termasuk guru pendidikan khas yang mempunyai ijazah sarjana manakala para penolong guru sekurang-kurangnya mempunyai diploma atau ijazah pertama.

Kebanyakan kanak-kanak yang dihantar ke sekolah itu adalah dibiayai oleh daerah yang mereka tinggal memandangkan untuk menghantar kanak-kanak ke sekolah itu amat mahal dengan yuran setahun berjumlah US$63,000 (RM202,804).


-- BERNAMA

Sunday, April 11, 2010

Hobi saya Shopping...



My New School Bag




My latest shoes..cap 'wright'..



My New Shirt.. world cup 2010 cap 'sargeant'..



Terima kasih mama belanja adik....

Saturday, April 10, 2010

Wednesday, March 31, 2010

Potensi anak Sindrom Down


Oleh Lailetaty A Rahman
bminggu @bharian.com.my
2010/03/21


Sokongan, pendidikan awal mampu serlah kebolehan si kecil istimewa

TANGGAL 21 Mac amat bermakna kepada masyarakat istimewa sindrom down (SD). Pada hari ini, seluruh dunia meraikan Hari Sindrom Down yang diadakan bagi meraikan golongan ini selain meningkatkan kesedaran orang ramai agar memahami mereka.

Ini kerana, selain mempunyai hati dan perasaan, penghidap SD ini juga sebenarnya mampu dibantu untuk pulih ke tahap paling maksimum dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain. Syaratnya, mereka haruslah diberi pendedahan dan pendidikan awal pada usia seawal mungkin.

Apakah yang dimaksudkan dengan sindrom down ini? Berbanding individu normal yang memiliki 23 pasang kromosom, kanak-kanak SD ini pula memiliki tiga kromosom pada pasangan kromosom yang ke 21 dan ini yang membuatkan mereka dilahirkan sebagai anak istimewa.

"Masih ada ibu bapa yang enggan membawa anak mereka keluar dari rumah. Perkara berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini"

Angie Heng
Pengarah Pentadbiran
Pusat Kebangsaan Yayasan
Sindrom Down Kimanis

Dan tarikh 21 Mac itu dipilih sebagai melambangkan keistimewaan 21 kromosom penghidap sindrom ini. Di Malaysia saja, dianggarkan satu kes bagi setiap 600 kelahiran. Perlu diingat, sindrom ini bukannya bertumpu kepada satu-satu bangsa tertentu sebaliknya berlaku kepada semua bangsa di seluruh dunia. Dan, biarpun berbeza bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.

Ini berkait rapat dengan ciri fizikal yang ketara seperti bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung kecil dan agak leper. Tahap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak SD juga agak lambat berbanding kanak-kanak biasa.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga berisiko mempunyai masalah kesihatan seperti jantung berlubang, mudah dijangkiti selesema, kurang pendengaran, masalah pertuturan dan penglihatan kurang jelas.

Biarpun dunia menyaksikan perkembangan teknologi kesihatan yang memberangsangkan, sayangnya, masalah SD ini memang tidak boleh diubati. Namun itu tidak bererti mereka tidak layak menikmati kehidupan, sebaliknya apa yang lebih penting bagi penghidap SD adalah perangsang dan sokongan bagi membantu mereka menempuh kehidupan.

Malah ‘penawar’ sebenar golongan ini adalah pendedahan awal bagi meningkatkan perkembangan mereka. Malangnya, tidak ramai ibu bapa yang mahu tampil mendapatkan bantuan, sebaliknya lebih suka memerapkan anak di rumah. Jika ada pun, ia membabitkan mereka di usia remaja yang sukar dibentuk.

Menyedari kepentingan ini, pertubuhan seperti Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KSDF) menjadi tempat rujukan ibu bapa memastikan anak kesayangan mendapat pendidikan khas seawal mungkin.

Pengarah Pentadbirannya, Angie Heng, berkata dalam apa keadaan pun, apa yang lebih penting adalah sikap ibu bapa itu sendiri.

“Masih ada ibu bapa yang enggan membawa nak mereka keluar dari rumah. Perkara ini tak sepatutnya berlaku kerana ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak ini.

“Mereka sepatutnya dibenarkan untuk bercampur dengan orang lain selain adik beradik dan melayan mereka seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Menurut Heng, di pusat itu misalnya, mereka menerima kanak-kanak berusia seawal dua bulan.

“Bagi Program Simulasi Bayi terbuka kepada usia baru lahir hingga 18 bulan, manakala Program Kanak-Kanak pula bermula usia 18 bulan hingga dua tahun.

“Program biasa membabitkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang melatih kanak-kanak SD meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial mereka.

“Kita menetapkan yuran Program Simulasi Bayi berjumlah RM130 sebulan dan Program Biasa pula RM160. Namun ibu bapa boleh membuat rayuan dan berbincang dengan pihak Kiwanis bagi mengurangkan yuran berkenaan," katanya.

Heng berkata, pendidikan awal sehingga mencapai usia enam tahun ini amat penting kerana ia sebenarnya melatih kanak-kanak SD ini agar lebih berdikari dan bercampur gaul dengan rakan lain bagi meningkatkan kemahiran sosial mereka.

Masyarakat juga, katanya, perlu mengubah persepsi negatif mereka yang beranggapan golongan SD ini tidak berguna.

“Ramai kanak-kanak SD yang berjaya memasuki sekolah biasa dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain. Ada juga yang berjaya memasuki sekolah kerajaan dan menduduki peperiksaan ujian awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia. Malah ada yang bekerja di sektor swasta,” katanya.

Setakat ini, Kiwanis mempunyai tujuh cawangan dengan bilangan 300 pelajar sekolah di seluruh negara. Yayasan yang ditubuhkan lebih 21 tahun lalu bermatlamat membantu kanak-kanak istimewa ini mengoptimumkan potensi mereka.

Sempena sambutan Hari Sindrom Down Sedunia, Heng berkata, pusat itu mengadakan pelbagai acara termasuk pertunjukan peragaan, persembahan nyanyian dan kebudayaan. Sebelum ini sambutan diadakan di pusat perubatan bagi menyedarkan warga hospital dan orang ramai mengenai SD.

FAKTA: Sindrom Down
  • Sindrom ini mengambil nama Dr Langdon Down, orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866
  • Masalah ini disebabkan kelainan kromosom menyebabkan seseorang kanak-kanak itu menunjukkan sifat fizikal khusus yang boleh dikenali sewaktu bayi lagi.
  • Berlaku dalam satu kelahiran bayi bagi setiap 700 hingga 1,000 kelahiran.
  • Ramai pakar menyatakan usia lanjut ibu iaitu berumur 35 tahun ke atas sebagai risiko tinggi melahirkan anak Sindrom Down. Namun, ibu ibu muda juga tidak terkecuali daripada risiko itu.
  • Sindrom ini ada pada semua bangsa di seluruh dunia. Biar apa bangsa mereka sekali pun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama.
  • Ciri fizikalnya termasuk bertubuh pendek, kepala kecil, mata agak senget, hidung pendek dan leper.
  • Pertumbuhan yang lambat.

Sunday, March 21, 2010

Program Pembelajaran Tambahan Untuk Kanak-kanak Sindrom Down Diwujud

21 Mac, 2010 22:59 PM


PETALING JAYA, 21 Mac (Bernama) -- Satu inisiatif yang dikenali sebagai Projek 7 diwujudkan sebagai program pembelajaran tambahan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran termasuk yang mengidap Sindrom Down.

Presiden Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Tee Han Cheong berkata projek tersebut adalah hasil inisiatif Kumpulan Sokongan Ibu Bapa dengan kerjasama Pusat Kebangsaan-KDSF, yang dilaksanakan sejak awal bulan ini.

"Program ini terbuka kepada kanak-kanak berumur tujuh hingga sembilan tahun. Ia diadakan bukan bagi menggantikan tugas sekolah tetapi melengkapkan pendidikan khas kanak-kanak ini.

"Ia semacam tuisyen untuk kanak-kanak ini selepas mereka belajar di sekolah," katanya.

Seramai 10 kanak-kanak Sindrom Down kini mendaftar untuk mengikuti program tersebut dua kali seminggu di Pusat KDSF di sini.

-- BERNAMA

Pool Time...


Friday, March 19, 2010

Sindrom Down Bukan Halangan Untuk Berdikari

19 Mac, 2010 11:45 AM

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini adalah bahagian terakhir mengenai ulangtahun ke-21 Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) dan Hari Sindrom Dunia pada Mac 21

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Walaupun terdapat pelbagai tanggapan terhadap mereka yang mengalami Sindrom Down, namun ramai daripada mereka yang mempunyai masalah genetik ini telah membuktikan mereka juga boleh mempunyai kerjaya dan berdikari.

Eugene Wong Fyot-Yeong, 35, adalah antara mereka ini. Beliau ialah pembantu tadbir di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) di Petaling Jaya.

"Saya menyertai KDSF-NC, ketika itu di Jalan Gasing (Petaling Jaya) pada tahun 2000 selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Kerja Kiwanis di Taman Paramount juga di Petaling Jaya", kata Eugene, yang mempunyai dua adik.

Di KDSF-NC, antara tugas Eugene ialah membuat salinan fotokopi serta menjaga perpustakaan permainan selain membantu kerja pentadbiran yang lain.

Adik lelaki Eugene bertugas sebagai penganalisis kewangan di Damansara Jaya manakala adik perempuannya ialah pemegang PhD dan jurutera Teknologi Hijau di New Zealand.

KEBOLEHAN ISTIMEWA

Walaupun dalam keadaan ketidakupayaan, anak Sindrom Down dikurniakan kebolehan atau kepandaian keistimewaan dan Eugene adalah antara mereka yang mempunyai kelebihan ini.

Eugene ditakdirkan mempunyai 'kehalusan' kerja tangan dan beliau mempunyai kebolehan melukis gambar yang menarik untuk dijadikan penghias kad-kad ucapan.

Setiap tahun kerja tangan Eugene telah menarik perhatian pelanggan (syarikat) yang telah mencetak beribu-ribu kad dari hasil kerja tangan beliau.

Eugene juga mempunyai cara beliau sendiri untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Semua bayaran yang saya terima dari melukis kad-kad ucapan, saya dermakan kepada badan-badan amal", kata Eugene dengan penuh bangga.

Eugene, yang bertutur dengan penuh lemah lembut, juga aktif dalam bidang sukan.

Beliau melibatkan diri dalam Olimpik Khas, satu temasya sukan untuk mereka yang mempunyai masalah pembelajaran.

Satu pingat emas pada Kejohanan Jemputan Boling ke-7 (untuk mereka yang kurang upaya) di Sabah pada tahun 2002 adalah antara kejayaan beliau. Beliau juga memenangi satu pingat emas dalam Kejohanan Boling Antara Negeri yang diadakan di Kuala Lumpur tahun lepas.

Beliau juga adalah antara delegasi pada Persidangan Program Kepimpinan Sukan Asia-Pasifik pada tahun 2004.

Menurut Pengarah Pentadbiran KDSF-NC, Angie Heng, pusat tersebut mendapatkan khidmat Eugene kerana ingin membuktikan kepada umum bahawa mereka yang mengalami Sindrom Down juga boleh bekerja serta berdikari.

"Ramai mungkin menganggap mereka yang mengalami Sindrom Down terpaksa bergantung kehidupan kepada orang lain, tetapi anak Sindrom Down seperti Eugene telah membuktikan mereka juga boleh berdikari", kata beliau.

SUKA BERSAMA ANAK-ANAK KECIL

Sementara itu, Pegawai Sumber KDSF-NC, Norzattul Syimma Mohd Norshah atau Syimma berkata, beliau suka bersama dengan anak-anak di pusat tersebut kerana "mereka gembira bersama saya di bilik darjah dan saya amat menyukai senyuman mereka serta kegembiraan yang menggamit saya ketika saya menyertai sesi kelas mereka".

Syimma, 30, adalah graduan Kejuruteraan Polimer Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

"Antara tugas saya ialah untuk memberi penerangan kepada ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak mereka di pusat ini. Penerangan adalah bagi program dan kemudahan yang disediakan serta prosedur untuk mereka mendaftarkan anak", katanya.

Beliau juga menguruskan para sukarelawan yang ingin membantu pusat tersebut selain daripada menjalankan tugas-tugas pentadbiran, mencari penaja dan mengendalikan aktiviti yang dijalankan.

Kenapa sertai KDSF?

"Takdir menentukan saya datang ke sini dengan tidak sengaja dan setelah itu saya gembira dapat memberi khidmat kepada anak Sindrom Down. saya menyukai anak istimewa kerana mereka mempunyai keistimewaan sendiri", tambah Syimma.

JURUTERAPI PERTUTURAN

Bagi juruterapi patologi pertuturan di KDSF-NC, Lim Jia Chuan, 26, beliau sudah mendampingi anak Sindrom Down semenjak menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Saya diberi kursus (Sains Pertuturan) ini dan setelah masa berlalu, saya sedar yang saya amat suka dengan anak yang mempunyai masalah ini. Itulah sebabnya saya memilih kerjaya sebagai juruterapi bagi mencapai matlamat hidup saya".

Bagaimana dengan anak istimewa?

"Saya suka mereka. Mereka adalah ciptaan Tuhan bagi menyedarkan kita yang sempurna untuk menghargai apa sahaja walaupun sekecil mana. Mereka membuat saya menghargai hidup ini", kata Lim.

-- BERNAMA

Thursday, March 18, 2010

Membantu Anak Sindrom Down "Ikhlas Dari Hati"

18 Mac, 2010 12:40 PM

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini adalah rencana keempat dari lima bahagian mengenai ulangtahun ke-21 Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KDSF) serta Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Mengajar anak yang mengalami masalah genetik Sindrom Down cara bagaimana mengembangkan kebolehan serta kepandaian sosial mereka bukanlah sesuatu yang mudah.

Tetapi bagi pakar terapi dan jurupulih anggota di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC)di Petaling Jaya, semuanya dilakukan secara 'ikhlas dari jiwa'.

KDSF-NC mempunyai empat juruterapi yang bertugas untuk mengajar dan mengembangkan kebolehan sosial anak-anak Sindrom Down serta perkembangan pertuturan mereka.

Dua daripada juruterapi ini adalah warga Filipina manakala dua lagi dari Malaysia.

Apa yang mendorong mereka memilih untuk bertugas bersama anak-anak istimewa?

MULA DENGAN INGIN AMBIL TAHU

"Ianya bermula dari sikap ingin ambil tahu. Saya mahu belajar bagaimana badan manusia berfungsi luar dan dalam", menurut juruterapi Hazel Joy D. Sablay, 26 tahun. Beliau, yang lebih selesa dikenali sebagai Joy, berasal dari Manila, Filipina.

"Kanak-kanak adalah cantik dan comel. Saya menyayangi kesucian yang ada dalam diri mereka yang membuat mereka jujur dalam segala perbuatan yang dipamerkan dan pada apa perkataan yang mereka tuturkan.

"Tetapi apa yang membuatkan saya amat menyayangi anak keperluan istimewa ialah kekuatan mereka yang memberikan inspirasi kepada kita walaupun mereka berada dalam keadaan yang sukar.

"Sebagai juruterapi, adalah satu hadiah buat saya melihat anak-anak ini membesar dan dapat membantu mereka mengembangkan kebolehan yang mereka ada walaupun dengan keadaan mereka yang sukar dan terhad".

Bagi Joy, bertugas bersama anak-anak istimewa merupakan satu proses mengajar dan diajar.

"Mereka belajar daripada saya dan saya juga belajar daripada mereka. Mereka memberi inspirasi kepada saya dan saya percaya dalam sebahagian daripada hidup mereka, saya juga merupakan inspirasi bagi mereka", kata beliau.

DARI JIWA

Menurut Joy, adalah penting untuk mengetahui bahawa mengajar anak Sindrom Down bukan sahaja berlandaskan pengalaman dan kepandaian tetapi ianya harus dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.

"Jika kita mempunyai semangat untuk membantu mereka, semuanya akan turut tercatur dengan baik. Mempunyai hati dan perasaan yang jujur adalah kunci untuk menjadi pengajar, penjaga atau juruterapi anak istimewa secara efektif".

Joy percaya terapi fizikal atau fisioterapi adalah pilihan baik bagi pesakit yang mempunyai kekurangan upaya dalam sistem badan seperti otot, tulang, sensori, neurologi, peredaran darah serta pernafasan.

"Saya bersyukur kerana dapat bekerja bersama dengan anak keperluan khas walaupun ada mereka yang bertugas sebagai penjaga kesihatan profesional yang enggan dan turut menjauhi anak-anak ini", kata beliau.

Walaupun dilahirkan di Manila, Joy membesar di Isabela, kawasan utara Filipina. Pada tahun 2005, beliau menerima ijazah Sarjana Muda Terapi Fizikal dan mendapat lesen profesional di bidang tersebut pada tahun yang sama.

Sebelum beliau mula bertugas di KDSF-NC pada Mei 2008, Joy bekerja di sebuah hospital di Filipina selama tiga tahun dan telah melibatkan diri dengan ramai pesakit yang terdiri daripada golongan pediatrik dan geriatrik.

"Pada masa yang sama saya juga merawat pesakit di rumah seperti mereka yang mengalami masalah saraf dan otot serta anak istimewa antaranya Sindrom Down", tambah beliau.

TERAPI CARA KERJA

Kenapa pilih juruterapi sebagai kerjaya? Itulah soalan yang diajukan terhadap Junaleth 'June' Dalupang Chiong.

"Ianya bukanlah pilihan pertama saya. Tetapi ketika saya belajar, saya rasa terpanggil membantu mereka yang memerlukan dan ketika itulah saya mula memperkembangkan kebolehan saya dalam aspek ini", kata June yang berasal dari Makati, Filipina.

"Sebelum datang ke Malaysia, saya mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun sebagai juruterapi cara kerja di Filipina. Saya biasa dengan anak-anak istimewa bukan sahaja Sindrom Down tetapi juga autisme, cerebral palsy, masalah pembelajaran dan cacat akal", kata June yang mempunyai ijazah Sarjana Muda Sains Terapi Cara Kerja.

Beliau juga merupakan juruterapi berlesen.

Bagi anak-anak Sindrom Down, June mempunyai pandangan sebegini:

"Membantu mereka merupakan satu cabaran kerana bukan semua yang dapat menyesuaikan diri bersama anak-anak ini. Anak-anak ini dianggap istimewa bukan kerana masalah yang mereka hadapi tetapi mereka boleh beri kelainan terhadap hidup anda dalam keadaan yang amat istimewa".

Bagi June, anak-anak istimewa membantu membina sifar pengajar mereka kerana ianya bukan sesuatu yang mudah mengajar anak-anak sebegini dengan penuh kasih sayang, kesabaran serta kefahaman.

"Saya tidak pernah menyesal berkhidmat untuk anak-anak istimewa kerana ianya memberi satu kepuasan bila melihat mereka berupaya mencapai kemajuan", tambah beliau.

ANAK ISTIMEWA JUGA MEMPUNYAI HAK

Bagi Ida Yasmine Ahmad, 27, yang dilahirkan di Kuching, Sarawak, anak-anak istimewa mempunyai hak sama seperti anak yang lain. Mereka juga mempunyai persamaan dari segi imaginasi, pemikiran, emosi serta reaksi dan tindakan.

"Disebabkan ciri-ciri istimewa mereka, anak-anak ini telah mencipta dengan sendiri daya mereka yang unik dalam menyatakan sesuatu dan ini memang sesuatu yang amat dan tidak pernah gagal menakjubkan saya.

"Apa yang kita anggap hanya sebagai kebolehan yang agak remeh, tetapi bagi anak istimewa di mana sesuatu itu kelihatan begitu sukar pada mulanya dan bila mereka berjaya melakukannya, ia seperti satu perkara yang amat besar telah dicapai.

"Dan situasi sebegini memang menakjubkan. Walaupun saya mungkin dianggap cuba membesarkan senario ini, tetapi itulah satu fakta dan perkara yang sebenarnya", kata Ida Yasmine yang merupakan graduan Kolej Universiti MAHSA pada tahun 2009.

Bagi beliau, anak-anak istimewa mungkin lain dari anak normal tetapi tetap mempunyai hak yang sama untuk bermain, belajar serta disayangi oleh semua.

"Selamat Hari Sindrom Down Dunia:", kata beliau.

-- BERNAMA

Wednesday, March 17, 2010

Kita Tidak Berbeza Dari Apa Bangsa Atau Keturunan Etnik


Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini adalah rencana ketiga dari lima bahagian mengenai Yayasan Sindrom Down Kiwanis serta Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- "Kenapa anak-anak Sindrom Down kelihatan serupa?"

Itulah pertanyaan yang selalu didengar daripada mereka yang perasan tentang persamaan raut wajah anak-anak yang mengalami masalah genetik ini.

"Mungkin inilah cara Tuhan memberitahu kita bahawa kita bukannya berbeza dari apa-apa bangsa atau keturunan etnik", kata Loo Ai Choo, Pengerusi Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) semasa satu temubual bersama Bernama di sini baru-baru ini.

Syndrome Down, yang dikenali juga sebagai 'Trisomi 21' di mana bahan genetik yang lebih menyebabkan berlaku kelewatan dalam pembesaran serta perkembangan kanak-kanak dari segi mental dan fizikal. Ianya terjadi pada satu daripada 800 bayi.

APA YANG MENYEBABKAN SINDROM DOWN?

Anak akan menerima 'maklumat' genetik dari ibu bapanya dalam bentuk 46 kromosom iaitu 23 dari ibu dan 23 dari bapa. Dalam Sindrom Down, anak itu mendapat kromosom lebih (iaitu pada kromosom 21) menjadikan jumlah kromosom 47 dan bukannya 46.

Bahan genetik yang berlebihan inilah yang menyebabkan ciri-ciri fizikal serta lambat perkembangan anak Sindrom Down.

Menurut Loo, tiada siapa mengetahui punca sebenarnya Sindrom Down dan tiada kaedah yang dapat menghalangnya dari berlaku.

"Menurut saintis, wanita berumur 35 tahun ke atas mengalami risiko lebih tinggi untuk mempunyai anak seperti ini".

Pada umur 30 tahun, peluang wanita mempunyai anak Sindrom Down ialah 800.

Ini meningkat 350 pada umur 35 tahun dan pada umur 40 risiko naik kepada satu dalam 100.

RAUT WAJAH

Anak-anak Sindrom Down berkongsi beberapa ciri raut wajah seperti profil muka yang rata, mata sepet ke atas, telinga kecil dan lidah terjelir.

Mereka juga mempamer tonus otot yang lemah (dikenali sebagai hipotonia).

Oleh itu anak Sindrom Down kelihatan 'lembik' dan mereka akan mencapai pergerakan tanda perkembangan seperti duduk, merangkak dan berjalan lebih lambat berbanding anak yang normal.

Pembesaran mereka juga adalah lebih lambat menyebabkan mereka kelihatan lebih kecil dari anak-anak yang sebaya. Ketika bayi, hipotonia mungkin menyebabkan kesukaran menghisap dan makan dan ini boleh membawa kepada sembelit serta masalah penghadaman yang lain.

Anak-anak Sindrom Down juga mengalami kelewatan dalam kebolehan pertuturan dan penjagaan diri selain dari makan, memakai baju serta pengajaran tandas.

KURANG UPAYA PEMBELAJARAN

Kata Loo Sindrom Down merencat kebolehan anak-anak belajar dan ada yang mengalami masalah intelek.

"Anak Sindrom Down boleh belajar dan sememangnya mereka dapat belajar dan juga mampu memperkembangan kebolehan mereka sendiri sepanjang hidup mereka. Cuma mereka mencapai matlamat pada masa mereka sendiri dan oleh itu adalah penting untuk tidak membandingkan mereka dengan anak-anak yang lain".

Hampir separuh dari anak-anak Sindrom Down mempunyai masalah jantung kongenital. Mereka juga mempunyai risiko menghidapi hipertensi pulmonari.

Ramai juga yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran. Pemeriksaan berkala oleh pakar audiologi serta oftalmologi juga diperlukan bagi memperbetulkan masalah sebelum ini mengganggu pertuturan serta kebolehan belajar.

Masalah perubatan yang lain ialah masalah kelenjar tiroid, abnormaliti intestin, gangguan pernafasan, kegemukan, mudah kena jangkitan dan risiko yang lebih tinggi terhadap leukemia.

PERKHIDMATN INTERVENSI AWAL

Menurut Loo lagi, pakar-pakar telah menyarankan agar anak-anak Sindrom Down diberikan perkhidmatan intervensi awal secepat mungkin.

"Juruterapi pemulihan, juruterapi cara kerja serta pakar pertuturan dan pengajar peringkat awal kanak-kanak boleh membantu perkembangan anak anda", kata beliau.

Katanya, ada anak sindrom Down yang memerlukan aplikasi program pendidikan khas manakala ada juga yang dapat menyertai sekolah biasa bersama anak yang lain yang tidak mengalami masalah genetik ini.

Sementara itu Pertubuhan Sindrom Down Antarabangsa (DSI) telah menetapkan bahawa 21 Mac adalah Hari Sindrom Down Dunia sempena dengan uniknya kejadian 'triplikasi' kromosom ke-21 yang melahirkan situasi genetik Sindrom Down.

Lebih 20 negara di dunia menyambut Hari Sindrom Down Dunia.

"Kini, ramai anak Sindrom Down dapat pergi ke sekolah dan menikmati serta menjalani aktiviti yang dilakukan rakan sebaya.

Ada juga yang sudah sampai ke kolej dan universiti. Ramai yang sudah dapat bercampur-gaul dengan masyarakat dan tidak kurang juga mampu hidup berdikari dan mempunyai pekerjaan", kata Loo.

-- BERNAMA

Tuesday, March 16, 2010

Mencapai Potensi Anak Sindrom Down Sepenuhnya

16 Mac, 2010 11:23 AM


Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini ialah bahagian kedua daripada lima siri rencana tentang Yayasan Sindrom Down Kiwanis sempena Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Dua puluh satu tahun dahulu, Yayasan Sindrom Down di Petaling Jaya bermula dengan satu wawasan yang murni, iaitu memberi peluang kepada anak-anak Sindrom Down untuk mengenali diri mereka dan juga erti kehidupan.

Menurut Loo Ai Choo, Pengerusi Yayasan Ssindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC): "Sejak itu, ramai di antara mereka telah membuktikan yang mereka boleh dibantu dan diajar walaupun mengambil masa yang lambat".

Bagi Loo, setiap anak Sindrom Down mempunyai hak untuk pendidikan, seperti juga anak-anak yang lain.

"Di KDSF-NC, kami bertekad membantu anak yang mengalami Sindrom Down mencapai potensi mereka sepenuhnya," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

"Setiap anak memberikan cabaran yang berlainan, jadi tujuan kami ialah mengeluarkan yang terbaik daripada setiap mereka," kata Loo.

SEJARAH KSDF

KDSF Petaling Jaya mula beroperasi pada 11 Sept 1989 dengan menyewa sebuah banglo di No 59, Jalan Gasing, Petaling Jaya. Objektif utamanya ialah mengajar serta melatih anak-anak Sindrom Down yang berumur enam tahun ke bawah.

Pusat Nasional yayasan itu dimulakan oleh Kelab Kiwanis Kuala Lumpur (KCKL). Sebaik sahaja KDSF dibuka, ahli KCKL memulakan usaha membentuk sebuah Yayasan serta mengambil langkah mendapatkan status 'bebas cukai' agar pendapatan bersih KDSF dapat dikecualikan daripada cukai.

Kini KDSF-NC mempunyai 120 kanak-kanak Sindrom Down serta 25 guru/pakar terapi di bawah naungannya. Terdapat enam lagi KDSf di seluruh negara -- Seremban, Klang, Melaka, Johor Baharu, Ipoh dan Kota Kinabalu. Pusat KDSF di Butterworth akan dibuka tidak lama lagi.

WAWASAN, RANCANGAN

Bagi Loo, Pengerusi KDSF-NC bagi 2009-2011, wawasan beliau ialah supaya yayasan itu memberi pendidikan awal kanak-kanak Sindrom Down yang lebih baik atau sekurang-kurangnya mempunyai kualiti sama seperti apa yang diberikan oleh negara-negara yang lebih maju.

"Dapat membantu semua anak Sindrom Down di Malaysia dan mencapai potensi yang mereka ada dengan sepenuhnya," kata beliau.

Rancangan Loo ialah agar KDSF-NC dapat meneruskan Program Intervensi Awal bagi anak Sindrom Down bawah tujuh tahun dan terus menambah baik program itu dengan memperkenal kaedah terapi dan pendidikan yang terkini serta efektif.

"Dan juga bagi meningkatkan kesedaran umum tentang khidmat yang disediakan bagi anak-anak Sindrom Down supaya mereka tahu wujudnya kumpulan sokongan bagi membantu anak-anak ini mencapai potensi mereka sepenuhnya. Kami juga membantu ibu bapa mengendalikan dengan lebih baik anak-anak mereka yang memerlukan keperluan khas".

KERJA AWAL

Loo menyertai KCKL pada tahun 2001 dan menjadi ahli Lembaga Pengarah dari tahun 2001 hingga 2008. Beliau merupakan ahli Majlis KDSF-NC sejak 2008 dan menjadi pengerusi KDSF-NC bagi 2009-2011.

Penglibatan jurutera itu dalam kerja amal bermula semasa beliau di bangku sekolah ketika bapanya membantu sekolah untuk anak pekak di Klang.

"Saya diperkenalkan kepada acara amal Kiwanis bila saya menyertai Kembara Harta Karun yang dianjurkan KCKL pada tahun 1985.

"Sekarang, penglibatan saya dalam kerja amal ialah melalui KCKL. Saya juga membantu dua program khidmat komuniti yang lain iaitu Pusat Khidmat Komuniti bagi Orang Pekak di Kuala Lumpur dan Rumah Harapan Ti-Ratana House di Klang.

PROGRAM, RANCANGAN MASA DEPAN

Bagaimana dengan perancangan dan program KDSF di masa depan?

"Kami berharap dapat melatih lebih ramai lagi anak-anak Sindrom Down bagi membantu mereka diserap dan menyesuaikan diri di sekolah biasa. Kini kami lihat ramai anak-anak dari KDSF-NC mendaftar dan diterima masuk ke dalam tadika-tadika.

"Kumpulan Sokongan Ibu bapa sedang mengusahakan satu projek bagi anak-anak enam tahun ke atas dan telah keluar dari pusat ini. Program ini dikenali sebagai Projek 7. Program membantu Program Pendidikan Khas yang diberikan sekolah kerajaan".

Menurut Loo, KDSF-NC membantu kumpulan Sokongan Ibu bapa dengan menolong dalam pembentukan dan menjalankan program, menyediakan kemudahan dan juga membantu mencari sumber kewangan.

Kata beliau, KDSF-NC memperkenalkan satu Program Membaca bagi melatih anak-anak naungan mereka menjadi pembaca.

"Bermula dari tahun 2010, setiap dua kali sebulan kami menganjurkan Program Dorongan Ibu bapa di mana para guru, ibu bapa dan pakar terapi berjumpa dan berbincang. Ibu bapa akan diberikan penerangan tentang bagaimana boleh menyokong lagi pengajaran anak di rumah dan guru/pakar terapi pula akan dapat maklum balas daripada ibu bapa.

"Kami juga berharap dapat memperkukuh lagi program terapi kami dengan mengambil khidmat lebih ramai pakar terapi tempatan," tambah Loo.

KDSF-NC kini mempunyai empat pakar terapi termasuk pakar patologi pertuturan. Dua daripada mereka ialah warga asing.

-- BERNAMA

Monday, March 15, 2010

Berikan 'Harapan' Bagi Dunia Anak Sindrom Down

5 Mac, 2010 12:08 PM

By Zulkiple Ibrahim

Ini ialah bahagian pertama daripada siri lima rencana tentang Yayasan Sindrom Down Kiwanis sempena Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Nabila (bukan nama sebenar) merupakan anak berumur empat tahun yang dilahirkan dengan masalah genetik 'Trisomi 21' atau lebih dikenali sebagai Sindrom Down.

Sejak lahir, satu-satunya anak bagi ibu tunggal yang berumur 45 tahun, Nabila hanya tinggal di rumah dan tidak pernah pergi ke mana-mana mahupun institusi asuhan bagi anak istimewa.

"Rakan-rakan menasihati saya supaya menghantarnya (Nabila) ke Yayasan Sindrom Down Kiwanis tetapi saya fikir saya tidak mampu kerana gaji saya sebagai pekerja kilang sangat kecil", kata ibu Nabila yang mahu dikenali sebagai Ainun kepada penulis baru-baru ini.

Bila diberitahu tentang masalah yang dialami Ainun, Pengerusi Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC), Loo Ai Choo berkata:

"Di KDSF-NC, kami mahu beri satu harapan kepada dunia anak yang mengalami Sindrom Down. Sepatutnya tiada halangan atau masalah bagi membantu anak-anak yang mempunyai masalah genetik ini".

PROGRAM TAJAAN ANAK

Bagi anak Sindrom Down dari keluarga berpendapatan rendah dan yang tidak mampu, KDSF-NC mempunyai beberapa program bantuan. Antaranya ialah Program Tajaan Anak.

"Di bawah Program Tajaan Anak, kami cuba dapatkan tajaan daripada badan korporat atau syarikat swasta untuk menaja anak tersebut mengikuti program latihan di KDSF-NC", menurut Loo yang merupakan seorang jurutera.

Bagaimana kalau tiada penaja?

"Jika tiada penaja, maka KDSF-NC akan menanggung segala perbelanjaan semasa anak itu berada di institusi ini," kata Loo.

Menurut Loo, semua yuran bagi anak-anak di KDSF, diberi subsidi.

"Tetapi jika ibu bapa tidak mampu membayar yuran ini, mereka boleh memohon dan membuat rayuan dengan menyertakan dokumen-dokumen yang perlu, surat pengesahan serta sokongan seperti daripada majikan atau penghulu/ketua kampung. Kami akan beri pertimbangan bagi mengurangkan bayaran yuran bulanan," kata beliau.

Menurut Loo terdapat tiga kelas pembelajaran di KDSF-NC.

Program-program itu ialah Program Stimulasi Bayi (ISP), Program Kanak-kanak (TOD) dan Program Pelajaran Khas (SEP). Yuran bulanan hanya RM130, RM160 and RM190 bagi setiap program.

PROGRAM INTERVENSI AWAL (EIP)

KDSF-NC mempraktik Program Intervensi Awal yang mengandungi program ISP, TOD dan SEP. Program EIP diguna bagi mengajar serta mengembangkan dan memberi stimulasi kepada anak-anak Sindrom Down dalam aspek pergerakan motor kasar serta halus, persepsi, pertuturan awal, pra-akademik dan juga seni dan kraf.

Kemahiran sosial serta juga amalan, kebolehan dan bantuan diri turut diajar.

Menurut Pengarah Pentadbiran KDSF-NC Angie Heng, Program Stimulasi Bayi ialah bagi anak-anak yang berumur antara dua hingga 24 bulan.

Heng menerangkan bahawa terdapat 40 kanak-kanak di bawah program ini yang dikendalikan oleh empat pakar terapi. Ia dijalankan bagi satu sesi seminggu selama satu jam.

"Dalam program ini, fokusnya ialah aspek fizikal (motor kasar serta halus), aspek kognitif serta juga kepintaran. Terdapat juga aspek emosi dan kebolehan sosial. Ibu bapa digalakkan melibatkan diri dalam program ini", kata beliau dalam satu temubual.

Program ini ialah bagi memperkuat kelemahan fizikal anak seperti tonus otot yang lemah melalui latihan fisioterapi dan terapi cara kerja. Latihan ini bagi anak-anak mencapai kemajuan awal seperti merangkak serta mencari dan mengendalikan objek.

Anak-anak dilatih agar mempunyai daya refleks, memori serta kepandaian mengajuk bunyi dengan lebih baik.

Bagi Program Kanak-kanak, ianya sesuai untuk mereka yang berumur 2-3 tahun.

Menurut Heng, bila menjangkau umur 24 bulan, anak-anak di KDSF-NC sepatutnya sudah boleh berjalan walaupun secara dibantu.

"Program ini membina kebolehan yang dicapai oleh anak-anak, membantu mereka dalam laluan pembelajaran. Fokus diberikan terhadap kebolehan yang lain juga seperti pertuturan awal dan pra-akademik, bercerita serta muzik. semuanya dijalankan dalam suasana ceria".

Menurut Heng, program ini mengendalikan 30 anak yang dilatih empat guru. Kelas ialah tiga kali seminggu dengan setiap sesi selama dua setengah jam.

PROGRAM PELAJARAN KHAS (SEP)

Di KDSF-NC, anak-anak Sindrom Down yang berumur antara empat dan enam tahun diletakkan di bawah SEP.

Terang Heng: "SEP menyambung latihan terhadap kebolehan yang diperoleh dalam dua program yang lebih awal. Program ini memperhalus lagi pergerakan motor kasar dan halus, pra-akademik serta pertuturan. Pada tahap ini, anak-anak diajar kebolehan sosial serta pengendalian diri sendiri bagi membantu mereka beralih ke sekolah rendah".

Bagi menyambut Hari Sindrom Down Dunia dan ulang tahun ke-21 penubuhan KDSF-NC, satu majlis akan diadakan di KDSF-NC pada 21 Mac ini. Penaung Toh Puan Ena Ling dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.

KDSF-NC terletak di Lot 13490, Jalan Jenjarum, Off Jalan SS23/1, Taman SEA, 47400 Petaling Jaya, Selangor. Keterangan lanjut boleh didapati dengan menghubungi 03-7803 0179 (faks: 03-7806 4862 atau e-mel info@kdsf.org.my) atau layari www.kdsf.org.my.