Followers

Tuesday, August 3, 2010

Akta bela nasib OKU jangan sekadar retorik

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my
2010/08/03

Ruang bantu golongan cacat perlu diperluas elak jadi mangsa diskriminasi, dipinggirkan

KATAKAN apa saja istilah – Orang Kurang Upaya (OKU), orang kelainan upaya, orang cacat, golongan istimewa atau apa saja– nasib mereka tidak banyak berubah. Yang terbanyak adalah berada di bawah paras kemiskinan. Yang berjaya pula setakat lima peratus.

Sejak negara merdeka 53 tahun lalu, nasib OKU tidak banyak mendapat pembelaan kerajaan berbanding rakan mereka di Britain, Jerman dan Finland. Jika negara maju banyak mengutamakan kebajikan OKU dalam prospek pembangunan prasarana negara, Malaysia lebih banyak bercakap, keluhan dan bersimpati, namun terlalu sedikit menyediakan ruang membantu golongan cacat. Malah, kementerian yang diwujudkan khusus untuk membantu OKU seperti hilang fokus dan lebih membicarakan isu sosial, buang bayi, masalah janda dan wanita daripada masalah OKU yang melarat sekian lama.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 peratus jumlah penduduk sesebuah negara dikategorikan sebagai cacat. Ini bermakna 2.7 juta penduduk Malaysia menghadapi masalah kecacatan. Sehingga Disember 2009, hanya 267,513 OKU berdaftar di negara ini. Ramai yang tidak mendaftar kerana alasan tersendiri. Ramai juga merasakan kerajaan tidak banyak membuat apa-apa untuk membantu OKU, sekadar retorik dan seminar yang akhirnya tidak melaksanakan apa-apa.

Masalah OKU di Malaysia terlalu banyak dan sepatutnya kita sudah mempunyai pelaksanaan untuk menyelesaikan masalah. Peluang pekerjaan amat terbatas walaupun segelintir mereka mempunyai kelulusan dan kemahiran yang setaraf dengan orang ramai.

Siti Huraizah Ruslan antara contoh OKU yang cemerlang dalam pendidikan, namun dinafikan peluang untuk mengisi jawatan setimpal kemampuannya. Dia gagal memohon jawatan pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi kerana penemuduga memberi alasan kecacatan penglihatan bakal menyukarkan tugasnya mendidik siswa di menara gading.

Walaupun dia lulus cemerlang di pusat pengajian tinggi sama, penemuduga mempunyai alasan tersendiri untuk menafikan keupayaannya bekerja. Dia kini sekadar bertugas di suatu tempat yang tidak setimpal dengan kelulusan dan kemahiran dimiliki. Dia dinafikan hak kerana cacat penglihatan. Dia hanya dibayar gaji RM1,200 sebulan walaupun antara graduan cemerlang.
Seorang warga cacat yang lain pula terpaksa berdepan kerenah birokrasi apabila menemui kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di premis Hentian Bas Kajang, Selangor. Dia mahu menggantikan kad pengenalan OKU yang sudah rosak. Malangnya hasrat itu tergendala apabila kakitangan JKM dengan tegas menolak permohonannya kerana alasan tiada surat pengesahan doktor.

“Kami tidak boleh proses permohonan tanpa surat pengesahan doktor,” tegas pegawai JKM sambil menghulurkan borang yang perlu diisi oleh doktor kerajaan.

Saya sudah ada kad OKU, hanya mahu menggantikan yang baru. Kad OKU lama mengesahkan saya cacat anggota. Encik lihat saya bertongkat yang mengesahkan saya OKU. Apakah ini pun perlu surat doktor untuk mengesahkan sesuatu yang sudah sah? Apakah JKM tidak mempunyai rekod OKU yang sudah berdaftar?”

Pegawai JKM itu tetap menolak rayuan berkenaan kerana dia terikat dengan kerenah birokrasi jabatan kerajaan.

Di Malaysia, isu kerenah birokrasi tidak pernah sunyi di jabatan kerajaan dan tidak pernah selesai. Hampir semua jabatan kerajaan menjadi tumpuan umum kerana isu remeh yang sepatutnya diperbetulkan sesuai konsep 1Malaysia.

Akta OKU yang dikuatkuasakan pada Julai 2008 sepatutnya berjalan lancar untuk menyediakan peluang dan ruang kepada golongan cacat. Di atas kertas, ia seolah-olah berperanan memberi pengiktirafan hak kepada golongan itu yang memperuntukkan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan pembangunan dan kesejahteraan OKU.

Namun sehingga kini keberkesanan masih menjadi pertanyaan umum. Apakah akta diwujudkan sekadar ‘ada-ada’ atau masih berfungsi membantu OKU di negara ini.

Ramai OKU gagal mendapat pekerjaan setimpal meskipun mempunyai kelayakan dan kemahiran. Memang diakui peluang pekerjaan amat terhad tetapi Akta OKU masih berperanan untuk menggariskan panduan kepada sektor awam dan swasta menyediakan peluang kepada OKU berkhidmat. Majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU sepatutnya menerima insentif dan hal ini sepatutnya digariskan menerusi bajet negara dan dipertegaskan juga dalam rancangan pembangunan lima tahun.

Tanpa penguatkuasaan akta, usaha membantu OKU menjadi sia-sia kerana minda kelas ketiga masih tebal di Malaysia walaupun mempunyai kemudahan prasarana kelas pertama.

JKM melancarkan program Job Coach sejak 2006 bagi membantu golongan OKU mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan masa depan cerah. Bagaimanapun, keberkesanannya masih misteri. Apakah program itu dapat menyelesaikan masalah ekonomi OKU yang kini masih ramai jadi pengemis, pemuzik jalanan atau pekerja bawahan.

Setakat Disember 2009, seramai 766 OKU berkhidmat di sektor awam, 7,683 lagi mendapat pekerjaan melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Seramai 26,422 orang lagi mendapat pekerjaan, membuka perniagaan sendiri atau menerima Elaun Pekerja Cacat daripada kerajaan. Angka itu terlalu kecil berbanding 2.7 juta warga OKU di negara ini. Bagaimana pula taraf ekonomi mereka?

Masalah lain yang sering menjadi isu dalam membela nasib golongan OKU ialah aspek infrastruktur dan kemudahan awam. Pengangkutan awam sudah menyediakan ruang khusus untuk OKU. Bagaimanapun masih banyak bangunan awam tidak mesra OKU. Tangga bergerak tidak sesuai untuk pengguna cacat anggota dan cacat penglihatan.

No comments: