Followers

Wednesday, March 17, 2010

Kita Tidak Berbeza Dari Apa Bangsa Atau Keturunan Etnik


Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini adalah rencana ketiga dari lima bahagian mengenai Yayasan Sindrom Down Kiwanis serta Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- "Kenapa anak-anak Sindrom Down kelihatan serupa?"

Itulah pertanyaan yang selalu didengar daripada mereka yang perasan tentang persamaan raut wajah anak-anak yang mengalami masalah genetik ini.

"Mungkin inilah cara Tuhan memberitahu kita bahawa kita bukannya berbeza dari apa-apa bangsa atau keturunan etnik", kata Loo Ai Choo, Pengerusi Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) semasa satu temubual bersama Bernama di sini baru-baru ini.

Syndrome Down, yang dikenali juga sebagai 'Trisomi 21' di mana bahan genetik yang lebih menyebabkan berlaku kelewatan dalam pembesaran serta perkembangan kanak-kanak dari segi mental dan fizikal. Ianya terjadi pada satu daripada 800 bayi.

APA YANG MENYEBABKAN SINDROM DOWN?

Anak akan menerima 'maklumat' genetik dari ibu bapanya dalam bentuk 46 kromosom iaitu 23 dari ibu dan 23 dari bapa. Dalam Sindrom Down, anak itu mendapat kromosom lebih (iaitu pada kromosom 21) menjadikan jumlah kromosom 47 dan bukannya 46.

Bahan genetik yang berlebihan inilah yang menyebabkan ciri-ciri fizikal serta lambat perkembangan anak Sindrom Down.

Menurut Loo, tiada siapa mengetahui punca sebenarnya Sindrom Down dan tiada kaedah yang dapat menghalangnya dari berlaku.

"Menurut saintis, wanita berumur 35 tahun ke atas mengalami risiko lebih tinggi untuk mempunyai anak seperti ini".

Pada umur 30 tahun, peluang wanita mempunyai anak Sindrom Down ialah 800.

Ini meningkat 350 pada umur 35 tahun dan pada umur 40 risiko naik kepada satu dalam 100.

RAUT WAJAH

Anak-anak Sindrom Down berkongsi beberapa ciri raut wajah seperti profil muka yang rata, mata sepet ke atas, telinga kecil dan lidah terjelir.

Mereka juga mempamer tonus otot yang lemah (dikenali sebagai hipotonia).

Oleh itu anak Sindrom Down kelihatan 'lembik' dan mereka akan mencapai pergerakan tanda perkembangan seperti duduk, merangkak dan berjalan lebih lambat berbanding anak yang normal.

Pembesaran mereka juga adalah lebih lambat menyebabkan mereka kelihatan lebih kecil dari anak-anak yang sebaya. Ketika bayi, hipotonia mungkin menyebabkan kesukaran menghisap dan makan dan ini boleh membawa kepada sembelit serta masalah penghadaman yang lain.

Anak-anak Sindrom Down juga mengalami kelewatan dalam kebolehan pertuturan dan penjagaan diri selain dari makan, memakai baju serta pengajaran tandas.

KURANG UPAYA PEMBELAJARAN

Kata Loo Sindrom Down merencat kebolehan anak-anak belajar dan ada yang mengalami masalah intelek.

"Anak Sindrom Down boleh belajar dan sememangnya mereka dapat belajar dan juga mampu memperkembangan kebolehan mereka sendiri sepanjang hidup mereka. Cuma mereka mencapai matlamat pada masa mereka sendiri dan oleh itu adalah penting untuk tidak membandingkan mereka dengan anak-anak yang lain".

Hampir separuh dari anak-anak Sindrom Down mempunyai masalah jantung kongenital. Mereka juga mempunyai risiko menghidapi hipertensi pulmonari.

Ramai juga yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran. Pemeriksaan berkala oleh pakar audiologi serta oftalmologi juga diperlukan bagi memperbetulkan masalah sebelum ini mengganggu pertuturan serta kebolehan belajar.

Masalah perubatan yang lain ialah masalah kelenjar tiroid, abnormaliti intestin, gangguan pernafasan, kegemukan, mudah kena jangkitan dan risiko yang lebih tinggi terhadap leukemia.

PERKHIDMATN INTERVENSI AWAL

Menurut Loo lagi, pakar-pakar telah menyarankan agar anak-anak Sindrom Down diberikan perkhidmatan intervensi awal secepat mungkin.

"Juruterapi pemulihan, juruterapi cara kerja serta pakar pertuturan dan pengajar peringkat awal kanak-kanak boleh membantu perkembangan anak anda", kata beliau.

Katanya, ada anak sindrom Down yang memerlukan aplikasi program pendidikan khas manakala ada juga yang dapat menyertai sekolah biasa bersama anak yang lain yang tidak mengalami masalah genetik ini.

Sementara itu Pertubuhan Sindrom Down Antarabangsa (DSI) telah menetapkan bahawa 21 Mac adalah Hari Sindrom Down Dunia sempena dengan uniknya kejadian 'triplikasi' kromosom ke-21 yang melahirkan situasi genetik Sindrom Down.

Lebih 20 negara di dunia menyambut Hari Sindrom Down Dunia.

"Kini, ramai anak Sindrom Down dapat pergi ke sekolah dan menikmati serta menjalani aktiviti yang dilakukan rakan sebaya.

Ada juga yang sudah sampai ke kolej dan universiti. Ramai yang sudah dapat bercampur-gaul dengan masyarakat dan tidak kurang juga mampu hidup berdikari dan mempunyai pekerjaan", kata Loo.

-- BERNAMA

No comments: