Followers

Tuesday, March 16, 2010

Mencapai Potensi Anak Sindrom Down Sepenuhnya

16 Mac, 2010 11:23 AM


Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini ialah bahagian kedua daripada lima siri rencana tentang Yayasan Sindrom Down Kiwanis sempena Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Dua puluh satu tahun dahulu, Yayasan Sindrom Down di Petaling Jaya bermula dengan satu wawasan yang murni, iaitu memberi peluang kepada anak-anak Sindrom Down untuk mengenali diri mereka dan juga erti kehidupan.

Menurut Loo Ai Choo, Pengerusi Yayasan Ssindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC): "Sejak itu, ramai di antara mereka telah membuktikan yang mereka boleh dibantu dan diajar walaupun mengambil masa yang lambat".

Bagi Loo, setiap anak Sindrom Down mempunyai hak untuk pendidikan, seperti juga anak-anak yang lain.

"Di KDSF-NC, kami bertekad membantu anak yang mengalami Sindrom Down mencapai potensi mereka sepenuhnya," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

"Setiap anak memberikan cabaran yang berlainan, jadi tujuan kami ialah mengeluarkan yang terbaik daripada setiap mereka," kata Loo.

SEJARAH KSDF

KDSF Petaling Jaya mula beroperasi pada 11 Sept 1989 dengan menyewa sebuah banglo di No 59, Jalan Gasing, Petaling Jaya. Objektif utamanya ialah mengajar serta melatih anak-anak Sindrom Down yang berumur enam tahun ke bawah.

Pusat Nasional yayasan itu dimulakan oleh Kelab Kiwanis Kuala Lumpur (KCKL). Sebaik sahaja KDSF dibuka, ahli KCKL memulakan usaha membentuk sebuah Yayasan serta mengambil langkah mendapatkan status 'bebas cukai' agar pendapatan bersih KDSF dapat dikecualikan daripada cukai.

Kini KDSF-NC mempunyai 120 kanak-kanak Sindrom Down serta 25 guru/pakar terapi di bawah naungannya. Terdapat enam lagi KDSf di seluruh negara -- Seremban, Klang, Melaka, Johor Baharu, Ipoh dan Kota Kinabalu. Pusat KDSF di Butterworth akan dibuka tidak lama lagi.

WAWASAN, RANCANGAN

Bagi Loo, Pengerusi KDSF-NC bagi 2009-2011, wawasan beliau ialah supaya yayasan itu memberi pendidikan awal kanak-kanak Sindrom Down yang lebih baik atau sekurang-kurangnya mempunyai kualiti sama seperti apa yang diberikan oleh negara-negara yang lebih maju.

"Dapat membantu semua anak Sindrom Down di Malaysia dan mencapai potensi yang mereka ada dengan sepenuhnya," kata beliau.

Rancangan Loo ialah agar KDSF-NC dapat meneruskan Program Intervensi Awal bagi anak Sindrom Down bawah tujuh tahun dan terus menambah baik program itu dengan memperkenal kaedah terapi dan pendidikan yang terkini serta efektif.

"Dan juga bagi meningkatkan kesedaran umum tentang khidmat yang disediakan bagi anak-anak Sindrom Down supaya mereka tahu wujudnya kumpulan sokongan bagi membantu anak-anak ini mencapai potensi mereka sepenuhnya. Kami juga membantu ibu bapa mengendalikan dengan lebih baik anak-anak mereka yang memerlukan keperluan khas".

KERJA AWAL

Loo menyertai KCKL pada tahun 2001 dan menjadi ahli Lembaga Pengarah dari tahun 2001 hingga 2008. Beliau merupakan ahli Majlis KDSF-NC sejak 2008 dan menjadi pengerusi KDSF-NC bagi 2009-2011.

Penglibatan jurutera itu dalam kerja amal bermula semasa beliau di bangku sekolah ketika bapanya membantu sekolah untuk anak pekak di Klang.

"Saya diperkenalkan kepada acara amal Kiwanis bila saya menyertai Kembara Harta Karun yang dianjurkan KCKL pada tahun 1985.

"Sekarang, penglibatan saya dalam kerja amal ialah melalui KCKL. Saya juga membantu dua program khidmat komuniti yang lain iaitu Pusat Khidmat Komuniti bagi Orang Pekak di Kuala Lumpur dan Rumah Harapan Ti-Ratana House di Klang.

PROGRAM, RANCANGAN MASA DEPAN

Bagaimana dengan perancangan dan program KDSF di masa depan?

"Kami berharap dapat melatih lebih ramai lagi anak-anak Sindrom Down bagi membantu mereka diserap dan menyesuaikan diri di sekolah biasa. Kini kami lihat ramai anak-anak dari KDSF-NC mendaftar dan diterima masuk ke dalam tadika-tadika.

"Kumpulan Sokongan Ibu bapa sedang mengusahakan satu projek bagi anak-anak enam tahun ke atas dan telah keluar dari pusat ini. Program ini dikenali sebagai Projek 7. Program membantu Program Pendidikan Khas yang diberikan sekolah kerajaan".

Menurut Loo, KDSF-NC membantu kumpulan Sokongan Ibu bapa dengan menolong dalam pembentukan dan menjalankan program, menyediakan kemudahan dan juga membantu mencari sumber kewangan.

Kata beliau, KDSF-NC memperkenalkan satu Program Membaca bagi melatih anak-anak naungan mereka menjadi pembaca.

"Bermula dari tahun 2010, setiap dua kali sebulan kami menganjurkan Program Dorongan Ibu bapa di mana para guru, ibu bapa dan pakar terapi berjumpa dan berbincang. Ibu bapa akan diberikan penerangan tentang bagaimana boleh menyokong lagi pengajaran anak di rumah dan guru/pakar terapi pula akan dapat maklum balas daripada ibu bapa.

"Kami juga berharap dapat memperkukuh lagi program terapi kami dengan mengambil khidmat lebih ramai pakar terapi tempatan," tambah Loo.

KDSF-NC kini mempunyai empat pakar terapi termasuk pakar patologi pertuturan. Dua daripada mereka ialah warga asing.

-- BERNAMA

2 comments:

Julia said...

sy bangaa dengan awak...

cikgunikmie said...

terima kasih...