Followers

Monday, March 15, 2010

Berikan 'Harapan' Bagi Dunia Anak Sindrom Down

5 Mac, 2010 12:08 PM

By Zulkiple Ibrahim

Ini ialah bahagian pertama daripada siri lima rencana tentang Yayasan Sindrom Down Kiwanis sempena Hari Sindrom Down Dunia pada 21 Mac.

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Nabila (bukan nama sebenar) merupakan anak berumur empat tahun yang dilahirkan dengan masalah genetik 'Trisomi 21' atau lebih dikenali sebagai Sindrom Down.

Sejak lahir, satu-satunya anak bagi ibu tunggal yang berumur 45 tahun, Nabila hanya tinggal di rumah dan tidak pernah pergi ke mana-mana mahupun institusi asuhan bagi anak istimewa.

"Rakan-rakan menasihati saya supaya menghantarnya (Nabila) ke Yayasan Sindrom Down Kiwanis tetapi saya fikir saya tidak mampu kerana gaji saya sebagai pekerja kilang sangat kecil", kata ibu Nabila yang mahu dikenali sebagai Ainun kepada penulis baru-baru ini.

Bila diberitahu tentang masalah yang dialami Ainun, Pengerusi Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC), Loo Ai Choo berkata:

"Di KDSF-NC, kami mahu beri satu harapan kepada dunia anak yang mengalami Sindrom Down. Sepatutnya tiada halangan atau masalah bagi membantu anak-anak yang mempunyai masalah genetik ini".

PROGRAM TAJAAN ANAK

Bagi anak Sindrom Down dari keluarga berpendapatan rendah dan yang tidak mampu, KDSF-NC mempunyai beberapa program bantuan. Antaranya ialah Program Tajaan Anak.

"Di bawah Program Tajaan Anak, kami cuba dapatkan tajaan daripada badan korporat atau syarikat swasta untuk menaja anak tersebut mengikuti program latihan di KDSF-NC", menurut Loo yang merupakan seorang jurutera.

Bagaimana kalau tiada penaja?

"Jika tiada penaja, maka KDSF-NC akan menanggung segala perbelanjaan semasa anak itu berada di institusi ini," kata Loo.

Menurut Loo, semua yuran bagi anak-anak di KDSF, diberi subsidi.

"Tetapi jika ibu bapa tidak mampu membayar yuran ini, mereka boleh memohon dan membuat rayuan dengan menyertakan dokumen-dokumen yang perlu, surat pengesahan serta sokongan seperti daripada majikan atau penghulu/ketua kampung. Kami akan beri pertimbangan bagi mengurangkan bayaran yuran bulanan," kata beliau.

Menurut Loo terdapat tiga kelas pembelajaran di KDSF-NC.

Program-program itu ialah Program Stimulasi Bayi (ISP), Program Kanak-kanak (TOD) dan Program Pelajaran Khas (SEP). Yuran bulanan hanya RM130, RM160 and RM190 bagi setiap program.

PROGRAM INTERVENSI AWAL (EIP)

KDSF-NC mempraktik Program Intervensi Awal yang mengandungi program ISP, TOD dan SEP. Program EIP diguna bagi mengajar serta mengembangkan dan memberi stimulasi kepada anak-anak Sindrom Down dalam aspek pergerakan motor kasar serta halus, persepsi, pertuturan awal, pra-akademik dan juga seni dan kraf.

Kemahiran sosial serta juga amalan, kebolehan dan bantuan diri turut diajar.

Menurut Pengarah Pentadbiran KDSF-NC Angie Heng, Program Stimulasi Bayi ialah bagi anak-anak yang berumur antara dua hingga 24 bulan.

Heng menerangkan bahawa terdapat 40 kanak-kanak di bawah program ini yang dikendalikan oleh empat pakar terapi. Ia dijalankan bagi satu sesi seminggu selama satu jam.

"Dalam program ini, fokusnya ialah aspek fizikal (motor kasar serta halus), aspek kognitif serta juga kepintaran. Terdapat juga aspek emosi dan kebolehan sosial. Ibu bapa digalakkan melibatkan diri dalam program ini", kata beliau dalam satu temubual.

Program ini ialah bagi memperkuat kelemahan fizikal anak seperti tonus otot yang lemah melalui latihan fisioterapi dan terapi cara kerja. Latihan ini bagi anak-anak mencapai kemajuan awal seperti merangkak serta mencari dan mengendalikan objek.

Anak-anak dilatih agar mempunyai daya refleks, memori serta kepandaian mengajuk bunyi dengan lebih baik.

Bagi Program Kanak-kanak, ianya sesuai untuk mereka yang berumur 2-3 tahun.

Menurut Heng, bila menjangkau umur 24 bulan, anak-anak di KDSF-NC sepatutnya sudah boleh berjalan walaupun secara dibantu.

"Program ini membina kebolehan yang dicapai oleh anak-anak, membantu mereka dalam laluan pembelajaran. Fokus diberikan terhadap kebolehan yang lain juga seperti pertuturan awal dan pra-akademik, bercerita serta muzik. semuanya dijalankan dalam suasana ceria".

Menurut Heng, program ini mengendalikan 30 anak yang dilatih empat guru. Kelas ialah tiga kali seminggu dengan setiap sesi selama dua setengah jam.

PROGRAM PELAJARAN KHAS (SEP)

Di KDSF-NC, anak-anak Sindrom Down yang berumur antara empat dan enam tahun diletakkan di bawah SEP.

Terang Heng: "SEP menyambung latihan terhadap kebolehan yang diperoleh dalam dua program yang lebih awal. Program ini memperhalus lagi pergerakan motor kasar dan halus, pra-akademik serta pertuturan. Pada tahap ini, anak-anak diajar kebolehan sosial serta pengendalian diri sendiri bagi membantu mereka beralih ke sekolah rendah".

Bagi menyambut Hari Sindrom Down Dunia dan ulang tahun ke-21 penubuhan KDSF-NC, satu majlis akan diadakan di KDSF-NC pada 21 Mac ini. Penaung Toh Puan Ena Ling dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.

KDSF-NC terletak di Lot 13490, Jalan Jenjarum, Off Jalan SS23/1, Taman SEA, 47400 Petaling Jaya, Selangor. Keterangan lanjut boleh didapati dengan menghubungi 03-7803 0179 (faks: 03-7806 4862 atau e-mel info@kdsf.org.my) atau layari www.kdsf.org.my.

No comments: