Followers

Sunday, December 19, 2010

OKU Bukti Kebolehan Dalam Aktiviti Bersukan

14 Disember, 2010 13:26 PM

OKU Bukti Kebolehan Dalam Aktiviti Bersukan

Oleh Mohamad Bakri Darus

MELAKA, 14 Dis (Bernama) -- Hati mana tidak terusik apabila melihat atlet dengan pelbagai kecacatan bersaing di gelanggang dengan tekad dan semangat yang begitu tinggi untuk menang pada Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-15 di sini baru-baru ini.

Sama ada acara trek, padang atau di dewan, aksi yang dipamerkan seolah-olah mereka tidak mengalami kecacatan dan adakalanya kemampuan sesetengah mereka boleh mengalahkan insan normal.

Pada kejohanan enam hari bermula 21 Nov lepas, seramai 1,415 atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 15 kontinjen negeri menyertai sukan dwitahunan yang mempertanding 16 jenis sukan.

Sukan yang dipertanding ialah badminton, basikal, boccia, bola keranjang kerusi roda, boling padang, catur, futsal, goal ball, olahraga, perahu layar, petanque, ping pong, power lifting, renang, tenis kerusi roda dan boling tenpin.

Daripada 1,415 atlet OKU itu, seramai 208 merupakan OKU berkerusi roda, cacat anggota (361), lumpuh (24), cacat penglihatan (290), spastik (104), terencat akal (250), pendengaran (143) dan kerdil (35).

Kejohanan itu menawarkan 1,750 pingat, daripada jumlah itu sebanyak 571 pingat emas, perak (571) dan gangsa (608).

Namun begitu atlet-atlet OKU ini masih memerlukan banyak lagi bantuan daripada kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan serta sokongan daripada masyarakat.

Dipercayai masih terdapat ramai lagi OKU yang berada di rumah tanpa dibawa bersukan dan berekreasi walaupun diketahui aktiviti ini boleh membangunkan fizikal dan minda mereka.

PEMBANGUNAN SUKAN UNTUK OKU

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mempunyai peranan besar terhadap pembangunan sukan untuk golongan OKU meliputi perspektif fizikal dan minda.

Presiden MPM Datuk Zainal Abu Zarin berkata MPM melihat bidang sukan dalam skop yang luas dengan maksud sukan untuk terapi, pemulihan, pembangunan dan meluaskan skop minda golongan OKU.

"Bidang sukan ini, bidang sosial di mana apabila mereka bermain, mereka lupa kecacatan, mereka jadi seronok," katanya kepada Bernama di sini.

Zainal yang lebih 20 tahun berkecimpung dengan dunia sukan OKU, berkata MPM sedang menggiatkan usaha membangunkan sukan OKU di peringkat akar umbi dengan menggalakkan semua OKU melibatkan diri dalam sukan.

"Kita harap mereka keluar rumah dan berkecimpung dalam dunia sukan, sukan di peringkat akar umbi ini adalah pembangunan sukan untuk semua tak kira apa jenis kecacatannya asalkan dia seronok bermain dan berkawan," katanya.

Melalui program pembangunan sukan peringkat akar umbi itu, beliau berharap lebih ramai bakat baru dari kalangan OKU dapat ditonjolkan dan diambil untuk diberi latihan secara sistematik oleh jurulatih berpengalaman.

"Kita harap jurulatih akan pilih orang ini dan perkenalkan cara bermain yang betul supaya mereka boleh bermain sukan secara kompetitif agar pada suatu hari nanti, dia boleh bermain untuk kelab, mewakili negeri dan kebangsaan," katanya.

SUKAN MEMBINA DIRI OKU

Beliau berharap sukan dapat membina diri OKU dalam pelbagai aspek bukan sahaja fizikal, emosi, kesihatan tetapi juga dari segi kecemerlangan yang boleh mereka sumbangkan untuk bangsa dan negara seperti atlet sukan lain.

Katanya atlet OKU yang menunjukkan bakat dan prestasi cemerlang akan berpeluang bersaing di kejohanan peringkat kebangsaan, Asean, Asia, Komanwel dan Olimpik.

"Sebagaimana yang kita lihat pada Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-15 Melaka ini, terdapat ramai atlet OKU berprestasi cemerlang dan berpotensi mewakili negara ke peringkat kejohanan lebih tinggi seperti Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada 12-29 Dis ini," katanya.

Beliau berkata atlet OKU yang cemerlang akan mendapat hadiah insentif sama dengan atlet lain yang diperuntuk Majlis Sukan Negara.

Bagi pemantauan kegiataan sukan OKU di peringkat akar umbi, MPM bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU (Pesron) di semua negeri.

"Pesron menjadi penggerak peringkat negeri, dia kena rapat dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Majlis Sukan Negeri dalam merancang pembangunan sukan untuk golongan ini, di mana melibatkan 25 jenis sukan," katanya.

Beliau berkata Pesron juga bertanggungjawab untuk mendapatkan lebih ramai jurulatih dan pegawai teknikal yang sekarang ini dilihat menjadi antara kekangan untuk memberi latihan kepada OKU yang berminat untuk bersukan.

KEMUDAHAN UNTUK OKU MASIH KETINGGALAN

Mengenai kemudahan sukan untuk golongan OKU, Zainal kelihatan agak kecewa kerana kemudahan untuk golongan itu masih jauh kebelakang sekiranya ditinjau di setiap negeri.

"Kita lihat kemudahan yang disediakan, tak usah kata peringkat daerah, peringkat negeri dan kebangsaan sekali pun masih lagi kekurangan, kita mungkin ada kesedaran atas kertas tetapi dari segi perlakuan sangat perlahan," katanya.

Beliau berkata kekurangan prasarana itu juga menjadi kekangan untuk menggalakkan lebih ramai OKU melibatkan diri dengan sukan.

"MPM bersama KBS sudah bersetuju supaya sukan paralimpiad ini dianjur secara bergilir-gilir oleh negeri-negeri sebagaimana Sukan Malaysia (Sukma) iaitu mana-mana negeri yang menganjurkan Sukma, negeri itu juga menganjur Sukan Paralimpiad Malaysia.

"Dengan cara ini kita berharap kemudahan sukan untuk OKU juga dibangunkan seiring dengan persiapan untuk Sukma," katanya.

Zainal berharap semua pihak akan memberi perhatian secara adil kepada pembangunan Sukan OKU dan tidak lagi mengkelaskan sukan OKU sebagai sukan minoriti.

"Kalau dikelaskan sebagai sukan minoriti maka peruntukan kerajaan untuk sukan OKU pun sedikit, sepatutnya merekalah golongan yang perlu banyak ditolong," katanya.

Beliau berkata MPM akan menganjurkan seminar pada Februari depan bagi membentuk perancangan pembangunan sukan untuk OKU hingga menjelang tahun 2020.

PUSAT KECEMERLANGAN SUKAN

Zainal juga berkata sebuah pusat kecemerlangan sukan bagi golongan OKU yang sedang dibina oleh KBS dengan kos kira-kira RM50 juta, di Kampung Pandan Kuala Lumpur, diharap dapat membantu meningkatkan prestasi atlet.

Katanya pusat latihan berprestasi tinggi itu yang dijangka siap November tahun depan, akan membolehkan atlet OKU membuat persediaan rapi menghadapi temasya sukan tempatan dan antarabangsa.

Antara kemudahan di pusat di tapak seluas 1.84 hektar itu, yang direka bagi memenuhi kehendak atlet OKU ialah blok pentadbiran, blok asrama bagi 300 orang, gelanggang berbumbung yang menempatkan kolam renang serta gelanggang sukan, lapangan memanah dan kemudahan infrastruktur yang lain.

Mengakhiri temubual ini, Zainal berkata Malaysia patut mencontohi China tentang bagaimana mereka membangunkan kemudahan untuk golongan OKU yang dilihat jauh ke hadapan.

-- BERNAMA

No comments: