Followers

Friday, October 21, 2011

Perlis









Didik Anak Istimewa Sesuaikan Diri Dalam Dunia Sosial

Didik Anak Istimewa Sesuaikan Diri Dalam Dunia Sosial

Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu menyesuaikan diri mereka menghadapi pelbagai masalah emosi dan psikologi. Ini adalah bahagian akhir dari tiga siri rencana mengenai isu yang dihadapi ibu bapa anak istimewa

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Anak berkeperluan khas akan menempuh masalah dalam perkembangan psikososial mereka. Bergantung kepada jenis kecacatan, anak istimewa akan mengalami perkembangan emosi yang tidak seimbang.

Mendidik anak istimewa bertindak mengikut suasana dan situasi adalah perkara utama aspek keibubapaan.

Anne adalah ibu kepada Nishi, 4 tahun, yang dilahirkan sebagai autisme berkata bahawa masalah yang dihadapi ibu bapa anak istimewa pada setiap hari adalah jauh berbeza dari apa yang ditempuhi oleh ibu bapa yang mempunyai anak normal.

Masalah yang akan muncul adalah dari segi aspek perkembangan anak, perangai serta kelakuan, nutrisi dan pemakanan, pengambilan ubat, pendidikan dan intervensi awal selain dari hak undang-undang, kemudahan dan kaunseling.

Katanya kesihatan anak istimewa, kehidupan sosial dan masa depan bergantung kepada bagaimana ibu bapa mengendalikan masalah terbabit dan cara mereka menyesuaikan masalah itu dalam kehidupan sekeluarga.

"Adalah penting bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mengingati bahawa kehidupan anak mereka tidak boleh sekali-kali dianggap kurang berharga kerana semata-mata mereka mempunyai keperluan khas," kata ibu muda itu.



BELAJAR BENDA BARU

Menurut Anne, ibu bapa anak istimewa setiap masa cuba mempelajari benda-benda yang baru yang boleh dipraktikkan dalam strategi keibubapaan mereka.

"Ide sosial mempunyai banyak kapasiti. Ibu bapa dan anak mereka boleh melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti perbualan, bermain, bercerita sebelum tidur, bersama membuat kerjarumah atau juga pergi membeli-belah bersama.

"Melalui aktiviti ini, anak istimewa akan belajar pengetahuan yang luas tentang dunia fizikal dan sosial dan bagaimana untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain," kata beliau.

Katanya, keluarga anak istimewa, seperti juga keluarga lain yang mempunyai anak normal, mahu menjalani kehidupan yang bermakna, mengembirakan serta penuh kejayaan. Semua ahli keluarga akan memberi sokongan moral serta ketenangan bagi memenuhi keperluan anak istimewa.

Ibu bapa juga melindungi anak mereka dan cuba membuatkan mereka berdikari dalam kehidupan sosial. Kejayaan program intervensi bergantung kepada usaha ibu bapa dan pandangan mereka sendiri terhadap kecacatan, pandangan masyarakat serta kelakuan dan persepsi masyarakat dan keluarga.

Kata Anne, saat-saat positif bagi anak istimewa ini adalah bila ibu bapa mereka berupaya membantu mereka hidup sebagai seorang insan yang sosial.



MENCONTOHI IBU BAPA



Anne, yang juga juru pulih pediatrik menjelaskan bahawa anak juga belajar kelakuan yang sepatutnya dalam sekitaran sosial dari ibu bapa mereka.

Katanya kelakuan itu dipelajari dari pemerhatian, mencontohi dan membentuk selain dari proses pengukuhan.

"Anak akan belajar dan mencontohi ibu bapa," jelas beliau sambil menambah ibu bapa anak istimewa terpaksa melalui beberapa peringkat perubahan emosi.

"Ramai dalam kalangan mereka mempunyai keresahan terhadap kecacatan anak serta risau akan masa depan anak itu. Anak istimewa mempunyai risiko dua kali ganda mengalami masalah kesihatan mental dibandingkan dengan anak normal.

"Risikonya adalah tiga kali ganda jika anak itu mengalami kecacatan yang lain," katanya.

"Bagi semua anak istimewa, mereka akan mengalami belenggu dan masalah dalam persekolahan, pergerakan serta komunikasi. Ini adalah masalah utama dalam kehidupan harian mereka dan akan memberi had terhadap aktiviti," tambah beliau.

Menurut Anne, anak itu perlu merasai dirinya menerokai kehidupan dengan sokongan ibu bapa serta program penyesuaian.

Katanya ibu bapa harus mendidik anak mereka bagi menyesuaikan diri dalam dunia sosial.

"Peraturan sosial termasuk berkelakuan mesra, memandang kepada orang bila bercakap dengan mereka atau ketika mendengar pertuturan mereka selain daripada memberi reaksi bagi menunjukkan anda mendengar apa yang dipertuturkan.

"Ini boleh diterjemahkan sebagai mempunyai keupayaan sosial dan menjadi tugas ibu bapa membantu kehidupan sosial anak istimewa," katanya.

-- BERNAMA

Ibu Bapa Perlu Jadi 'Istimewa' Untuk Anak Istimewa

Ibu Bapa Perlu Jadi 'Istimewa' Untuk Anak Istimewa

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu menyesuaikan diri mereka kepada pelbagai masalah emosi dan psikologi. Ini adalah bahagian kedua daripada tiga siri mengenai isu yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai anak seumpama.

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Apabila pakar kanak-kanak, Dr Aini (bukan nama sebenar) terpaksa memberitahu sepasang suami isteri mengenai anak mereka yang baru dilahirkan mempunyai masalah genetik Sindrom Down, doktor itu merasakan bahunya seolah-olah sedang memikul satu beban yang sangat berat, iaitu 'satu tan batu-bata'.

"Sesiapa sahaja bila terpaksa memberitahu ibu bapa tentang keadaan anak mereka yang cacat adalah sebenarnya memikul satu beban yang amat berat.

"Dalam kebanyakan situasi ibu bapa itu tidak dapat menerima kenyataan tentang apa yang diberitahu. Mereka akan cuba protes dan menidakkan kenyataan dan mengatakan berita itu disampaikan secara 'tidak bijak'," kata beliau.

Dr Aini menambah kata bahawa berita itu perlu disampaikan kepada ibu bapa yang terlibat dengan kadar segera sebaik sahaja menerima fakta mengenai anak istimewa itu.

"Doktor mungkin tidak mengenali ibu bapa berkenaan. Namun doktor yang terpaksa menyampaikan berita itu berada dalam keadaan tertekan di samping dia sebenarnya mewakili bayi yang tidak sihat itu," kata Dr Aini.

KETERANGAN LENGKAP

Menurut Dr Aini, berita itu perlu disampaikan kepada kedua-dua ibu bapa secara sulit dan peribadi. Keterangan yang diberi haruslah lengkap, efisyen dan doktor yang menyampaikan perlu menunjukkan rasa simpati.

"Di mana yang boleh, berita itu perlu juga diiringi dengan kata-kata yang memberikan semangat dan harapan," kata beliau.

Walaupun ibu bapa menerima berita itu dalam kesedihan, mereka juga perlu diberi peluang untuk melahirkan perasaan mereka sehingga isu itu betul-betul difahami pasangan berkenaan, kata beliau.

"Ketika ibu bapa diberitahu, kebanyakan daripada maklumat yang disampaikan doktor mungkin tidak dapat diserap dan difahami sepenuhnya oleh ibu bapa. Pada masa itu juga perasaan terkejut dan resah mungkin belum timbul di pihak ibu dan bapa," kata beliau.

MURUNG

Ibu bapa yang menempuh situasi ini akan mengalami kesedihan. Kesedihan ini wujud dalam beberapa peringkat seperti rasa terkejut, penafian, kelu, murung dan akhirnya barulah datang penyesuaian dalam hidup.

Jelas Dr Aini, ibu bapa yang melalui peringkat-peringkat ini akan mengambil masa untuk 'pulih'.

Tugas seorang ibu atau bapa bukanlah senang kerana ia memerlukan persediaan dan tiada kesempatan bagi pasangan itu untuk 'berehat'.

"Bagi anak-anak istimewa, mereka mempunyai keperluan khas yang juga memerlukan perhatian serta penjagaan yang lebih rapi dibandingkan dengan anak yang normal," jelas Dr Aini lagi.

SAKIT KRONIK

Sakit kronik di peringkat kanak-kanak sememangnya mempunyai kesan fizikal, sosial dan psikologi yang agak besar terutama bagi keluarga yang perlu membesarkan anak istimewa.

Isu psikososial (bagaimana ibu bapa dan anak memberi reaksi secara mental terhadap situasi sosial) ibu bapa dan anak istimewa boleh bertukar menjadi agak traumatik bagi sesetengah ibu bapa.

Menurut Dr Aini bila anak dilahirkan, kehidupan dalam keluarga itu akan bertukar selama-lamanya. Dan jika anak itu mempunyai keperluan khas, pertukaran itu mungkin mempunyai impak yang besar.

"Memang satu tugas dan tanggungjawab yang berat bagi membesarkan anak istimewa untuk anak itu mencapai potensi yang sepenuhnya. Sebenarnya bukan mudah membesarkan anak istimewa.

"Bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, mereka perlulah kuat dari segi mental dan berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan hidup yang baru selain mempunyai perasaan optimistik yang tinggi," kata pakar pediatrik itu.

IBU BAPA PERLU JADI ISTIMEWA

Dr Aini berkata, ibu bapa perlulah menjadikan diri mereka 'istimewa' bagi berupaya membesarkan serta mendidik anak istimewa mereka.

Menurut beliau lagi, anak istimewa biasanya menerima persepsi yang agak tidak adil daripada masyarakat dan dianggap sebagai berkelakuan kasar dan kurang 'beradab' selain kurang berdisiplin.

"Tetapi ini adalah tanggapan yang salah, anak-anak istimewa memang berkelakuan sebegini apatah lagi jika kurang kualiti penjagaan oleh ibu bapa mereka," kata beliau.

Ibu bapa anak istimewa mempamerkan pelbagai masalah psikososial seperti kemurungan, keresahan dan kemarahan. Bagi Dr Aini ibu bapa anak istimewa perlu mempunyai lebih pengetahuan selain daripada memperkasakan diri mereka sendiri.

"Kasih sayang daripada ibu bapa ini terhadap anak istimewa mereka perlulah melimpah-ruah dan mereka perlu juga memberi definasi dan dunia baru terhadap makna 'istimewa'.

"Kedua-dua ibu bapa juga perlu faham bahawa mereka menggalas tugas berat sebagai ibu bapa kepada anak istimewa.

"Hanya ibu bapa yang ceria dan sihat akan dapat membimbing anak mereka untuk hidup secara normal dalam masyarakat. Anak itu belajar mengenai aktiviti, tabiat dan kebolehan yang spesifik daripada ibu bapa mereka," kata beliau.

Adalah penting bagi ibu bapa anak istimewa melihat anak mereka 'sebagai anak' terlebih dahulu dan tidak sebagai anak yang mempunyai kecacatan.

KESUKARAN

Ibu bapa anak istimewa juga akan menghadapi pelbagai kesukaran serta cabaran dari segi menjaga diri mereka sendiri selain memenuhi keperluan khas anak mereka.

Kata Dr Aini, menurut pengalaman beliau ramai ibu bapa menganggap kelahiran seumpama sebagai satu 'tragedi kemanusiaan' tetapi reda akan pemberian Tuhan.

"Mereka kemudiannya menjadi optimistik serta mempunyai pandangan yang realistik mengenai kehidupan masa hadapan anak mereka dan dapat menerima anak istimewa mereka dengan seadanya.

"Terdapat pertalian positif antara kedua-dua ibu bapa. Ibu bapa turut berbincang dengan ahli keluarga yang lain mengenai anak mereka.

"Ibu bapa juga akan menggunakan perkhidmatan diagnostik yang disediakan untuk rawatan anak mereka selain sesi kaunseling dan latihan. Ia penting bagi mengakplikasikan program intervensi awal bagi anak istimewa," kata beliau.

Dr Aini menasihati ibu bapa agar menyertai dan mendapatkan bantuan dari segi kaunseling daripada kumpulan sokongan yang ditubuhkan selain daripada ibu bapa lain yang mempunyai pengalaman yang sama untuk memudahkan mereka menghadapi cabaran dalam membesarkan anak istimewa.

-- BERNAMA

Ibu Bapa Anak Istimewa Perlu Kaunseling

20 Oktober, 2011 15:51 PM

Ibu Bapa Anak Istimewa Perlu Kaunseling

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ibu bapa anak istimewa perlu menyesuaikan diri untuk menghadapi pelbagai masalah emosi dan psikologi. Ini adalah bahagian pertama dari tiga siri mengenai isu yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai anak seumpama.

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Rosli dan isterinya Fatimah (bukan nama sebenar pasangan itu) tidak dapat berkata apa-apa bila pakar obstetrik yang menyambut kelahiran anak mereka memberitahu bahawa anak mereka mempunyai penyakit genetik Sindrom Down.

"Episod itu berlaku empat tahun lepas. Pada mulanya kami tidak percaya apa yang diberitahu oleh doktor dan ia sesuatu yang amat pahit untuk ditelan. Kemudian kami sedar akan hakikatnya dan reda dengan ketentuan itu," jelas peguam yang berumur 45 tahun itu kepada penulis.

Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa memang menghadapi pelbagai masalah, akui Rosli.

"Adakalanya mereka rasa tidak boleh mengawal situasi yang wujud di sekeliling mereka seperti ada yang menuduh bahawa hanya beliau seorang sahaja yang melakukan kerja (berkenaan anak) manakala pasangannya tidak berbuat apa-apa.

"Wujud juga masalah emosi bila ibu atau bapa mungkin tidak berapa menyumbang bagi menghadapi tekanan emosi. Kadangkala ada ibu bapa yang melahirkan perasaan marah atau mengalami kemurungan kerana tekanan emosi yang mereka hadapi," kata beliau.

Menurut Rosli, ibu bapa anak istimewa perlu bantuan bagi mengekalkan dan mengukuhkan perhubungan antara suami dan isteri. Mereka perlu belajar bagaimana menjaga diri dan anak yang memerlukan keperluan istimewa.

KAUNSELING

Petugas sosial, Jamie Chong berkata kaunseling membantu ibu bapa yang mempuyai anak istimewa.

"Ada banyak perkara yang di luar kawalan kita tetapi ada juga beberapa perkara yang kita boleh kawal. Ibu bapa ini harus juga diingatkan tentang ada perkara yang mereka punya kawalan serta berupaya mengubahnya.

Kata Chong, ibu bapa boleh belajar menghormati cara dan gaya satu sama lain dalam menjaga anak, berkomunikasi dan bertolak ansur.

Jadi, selain daripada hanya bertindak mengikut perasaan dan reaksi mereka boleh menyelesaikan sebarang masalah secara proaktif, kata beliau.

"Ibu bapa perlu menghormati emosi pasangan mereka. Individu yang berlainan punya emosi yang berlainan. Contohnya, ada yang mempamerkan emosi secara terbuka. Ada yang cuba menyembunyikannya dengan melakukan aktiviti lain.

"Ini adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Untuk dapat menjaga anak istimewa dengan sepenuhnya, ibu atau bapa perlu berupaya menjaga diri mereka sendiri dan pasangannya dari segi aspek emosi dan fizikal.

"Anda perlu juga menjaga perhubungan suami dan isteri. Jika anda dalam keadaan baik dan perhubungan anda dan pasangan adalah segar maka anak istimewa anda akan turut 'segar' dan mampu mencapai potensi terbaiknya," kata Chong.

KEBAIKAN KAUNSELING

Kaunseling berupaya mempertingkatkan nilai hidup seseorang itu dan keluarganya dari banyak segi termasuk perhubungan dalam keluarga akan menjadi lebih kukuh dari segi emosi dan fizikal.

"Anak istimewa akan dapat dijaga dengan lebih baik dan kehidupan sekeluarga juga akan menjadi lebih baik," katanya.

Menurut Chong, ada juga ibu bapa yang berasa takut bila diberitahu anak mereka yang baru dilahirkan mempunyai masalah genetik dan tergolong dalam anak istimewa.

"Ada juga yang rasa bersalah serta kecewa seolah-olah diri mereka tidak berguna. Mereka yang mempunyai emosi sebegini perlu dibantu supaya segala tenaga dan fikiran dapat ditumpukan untuk kebaikan ibu, bapa dan anak.

"Bila keluarga itu terlampau fokus terhadap diagnosis dan rawatan anak mereka, kadangkala keperluan keluarga itu ada juga yang terlepas pandang.

"Terdapat gangguan emosi bila anak didiagnosakan sebagai anak istimewa tapi kehidupan keluarga ini adalah seolah-olah mengupas helaian kulit-kulit bawang di mana ibu bapa akan menghadapi pelbagai cabaran berulang kali dalam membesarkan anak itu," kata Chong.

Kadangkala bila menghadapi cabaran semasa membesarkan anak istimewa, timbul pula masalah dalam hubungan ibu bapa yang sedia wujud atau yang baru muncul, kata beliau.

"Ini semua adalah perkara yang normal bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dan segala masalah yang timbul boleh diringankan dengan mendapatkan kaunseling," tambah beliau.

-- BERNAMA