GAMBAR HIASANOleh Zulkiple Ibrahim
Ini adalah bahagian pertama daripada dua rencana mengenai dilema yang dihadapi ibubapa yang dikurniakan anak dengan Sindrom Down.
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Awal tahun ini, seorang DJ stesen radio di Ohio, Amerika Syarikat digantung kerja kerana didapati 'mempersenda' seorang wanita dengan Sindrom Down yang secara tidak sengaja mengubungi stesen radio itu.
Menurut laporan media, wanita itu sebenarnya mahu menelefon rakan tetapi tersilap dail dengan panggilannya sampai kepada pengacara itu yang mempersenda wanita itu kerana masalah pertuturannya.
Keluarga wanita itu yang marah dan tidak puas hati dengan insiden itu membidas DJ berkenaan kerana 'menghina' wanita kurang upaya itu dengan memperlekeh kelemahan mental beliau.
Pihak pengurusan stesen radio itu kemudiannya menggantung kerja DJ itu dan beliau kemudiannya meminta maaf secara terbuka.
Di tanahair, pada bulan Jun lepas, dalam satu program realiti stesen televisyen swasta tempatan seorang selebriti meluahkan kata-kata yang dianggap mempersenda insan tidak upaya intelektual akibat Sindrom Down.
Kata-kata itu menimbulkan kemarahan ibu bapa yang mempunyai anak dengan Sindrom Down yang mengecam selebriti serta setesen televisyen itu kerana tidak sensitif terhadap mereka yang mengalami masalah itu khasnya.
Satu petisyen yang ditandatangani oleh 880 orang meminta selebriti dan stesen telisyen itu memohon maaf secara terbuka dikemukakan dan selebriti itu memohon maaf bagi pihaknya dan stesen televisyen berkenaan dan berkata kenyataannya telah disalah erti.
Dua episod ini menunjukan kesedaran umum terhadap tidak upaya intelek disebabkan kecacatan atau abnormaliti genetik terutamanya Sindrom Down masih kurang.
TIDAK UPAYA INTELEK
Menurut pakar-pakar genetik terdapat beberapa bentuk tidak upaya intelek yang disebabkan abnormaliti genetik.
Menurut mereka antara abnormaliti genetik yang menyebabkan berlakunya tidak upaya intelek adalah Sindrom Down dan Sindrom 'Fragile X'.
Tetapi tidak upaya intelek yang paling kerap disebabkan kecacatan genetik adalah Sindrom Down.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyebut setiap negara mempunyai lebih kurang 10 peratus penduduk yang mengalami pelbagai kategori tidak upaya dengan satu Sindrom Down berlaku dalam setiap 800 kelahiran.
Pakar-pakar genetik menerangkan satu 'kesilapan atau kecacatan' yang berlaku ketika pembentukan sel semasa janin berada di peringkat prenatal menyebabkan wujud 'kromosom 21 ketiga' (sepatutnya hanya sepasang) dan situasi ini dipanggil 'Trisomi 21'.
Bila ini berlaku, individu itu akan mempunyai satu kromosom yang lebih dan keadaan genetik inilah yang menyebabkan seseorang mengalami tidak upaya mental dan fizikal.
TIDAK UPAYA KOGNITIF
Menurut pakar-pakar psikiatri/psikologi, tidak upaya intelek adalah takrif yang digunakan terhadap seseorang yang mengalami tidak upaya dalam fungsi mental termasuk kemahiran berkomunikasi, menjaga diri sendiri dan juga kemahiran sosial.
Masalah ini menyebabkan anak yang mengalami tidak upaya disebabkan genetik itu 'lambat' belajar jika dibandingkan dengan anak-anak yang normal.
Pakar-pakar menerangkan anak-anak ini mengalami masalah tidak upaya kognitif serta lembam dan dengan itu mengambil masa yang agak lama untuk belajar bertutur, berjalan dan menjaga keperluan peribadi seperti memakai baju atau makan.
Mereka juga akan mengalami masalah bila belajar di sekolah.
Tetapi mereka akhirnya akan dapat belajar, walaupun mengambil masa yang lama, jelas pakar-pakar itu lagi.
SINDROM DOWN
Pakar psikologi kanak-kanak Dr Annie Wong berkata setiap anak yang mengalami Sindrom Down mempunyai kebolehan sendiri yang istimewa dan adalah penting bagi ibubapa dan masyarakat sekeliling membantu mereka memperkukuhkan kebolehan unik ini.
Dr Wong berkata dalam banyak aspek, anak-anak dengan sindrom ini menyamai anak-anak normal yang lain.
Mereka juga ada emosi dan mahu belajar benda-benda yang baru bagi mereka, jelas pakar ini.
"Sindrom Down bukan satu penyakit dan tidak boleh berjangkit," kata beliau.
"Biasanya kejadian Sindrom Down ini hanya berlaku sekali dalam satu keluarga," tambah beliau lagi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment