2014/06/30 - 04:31:01 AM Oleh Dr Mohd Shukri Hanapi
Anak hadiah dan amanah Allah SWT kepada setiap pasangan suami isteri dalam kehidupan berumah tangga. Bagi suami isteri yang dihadiahkan anak oleh Allah SWT, hendaklah menerima hadiah itu dengan penuh rasa bertanggungjawab dan beramanah. Tidak kira sama ada anak itu sempurna atau tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU).
Ujian suami isteri yang dikurniakan anak sempurna lebih ringan berbanding pasangan suami isteri yang dianugerahkan anak OKU. Kehidupan mereka sudah tentu penuh dengan ujian dan dugaan.
Dalam hal ini, mereka perlu sabar, tabah menghadapi ujian dengan sentiasa mengadu serta bergantung harap kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu rezeki pun yang Allah berikan kepada seseorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar.” (Riwayat al-Hakim)
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman. Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 2-3)
Benar, setiap ujian dan dugaan yang hadir itu pasti terasa perit untuk dihadapi. Setiap ibu bapa yang dikurniakan anak OKU, tidak perlu mempersoalkan ‘kenapa Allah SWT menguji kami dengan ujian ini’.
Tidak wajar buruk sangka terhadap Allah
Selain itu, mereka juga tidak wajar buruk sangka terhadap Allah SWT dengan berkata, “Ya Allah, kenapa Engkau menguji kami yang tidak banyak harta ini dengan ujian seberat ini, sedangkan masih ramai lagi daripada hamba-Mu yang kaya dan berharta. Kenapa Engkau memilih kami dan tidak mereka?”
Sebenarnya setiap persoalan yang timbul itu jawapannya sudah tercatat dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman. Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 2-3)
Persoalan mengenai beratnya ujian ditimpakan, dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Justeru, setiap pasangan suami isteri yang diuji dengan anak OKU hendaklah memahami tujuan Allah SWT menguji semata-mata untuk menilai keimanan mereka. Jangan sesekali menyangka ia satu kezaliman daripada Allah SWT kerana Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-Nya.
Di samping itu, mereka perlu yakin kemampuan untuk menghadapi ujian itu dengan bantuan Allah SWT. Allah SWT telah berjanji akan membantu setiap hamba-Nya yang berada dalam kesusahan asalkan mereka tidak putus hubungan dengan-Nya. Allah SWT itu bersifat adil terhadap hamba-Nya.
Tidak perlu dukacita miliki anak OKU
Suami isteri yang mempunyai anak OKU, tidak perlu berdukacita dan merasa malu untuk berdepan masyarakat sekeliling. Malah, mereka sepatutnya berbangga dengan anugerah Allah SWT ini kerana anak istimewa hanya dianugerahkan kepada ibu bapa yang istimewa.
Segala sangkaan buruk terhadap Allah SWT hendaklah dihindari sama sekali. Jika tidak, ia boleh menyebabkan suami isteri yang mempunyai anak OKU sukar menerima ujian Allah SWT dengan berlapang dada.
Apabila ujian Allah SWT sukar diterima, maka berlakulah pelbagai perkara di luar batas kemanusiaan sehinggakan ada yang sanggup mengabai dan mendera anak OKU tanpa rasa belas kasihan.
Bukan setakat itu, ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana salah seorang daripada mereka tidak dapat menerima kehadiran anak OKU. Mereka saling memburukkan keturunan antara satu sama lain tanpa memikirkan hikmah di sebalik ujian berat yang dihadapi itu.