Followers

Friday, June 24, 2011

Mengurus Risiko Kemalangan Kanak-Kanak


Mohamad A'sim bin Ismail
Pegawai Penyelidik

10/06/2011 | Utusan Malaysia
Anak-anak kita terdedah kepada kemalangan. Pelbagai peristiwa sedih yang melibatkan anak-anak kita sentiasa menghiasai berita dalam media massa dari dahulu sehinggalah sekarang. Di sini penulis ingin mengimbas kembali beberapa peristiwa yang berlaku. Pada 3 April 2007, M. Sri Mathi, 3 tahun mati dikatakan tertinggal lebih sejam di dalam kereta ketika bapa kanak-kanak malang itu dilaporkan sibuk menguruskan upacara pembakaran mayat ibunya di Tanah Perkuburan Hindu di Sg. Petani, Kedah. Pada akhir bulan Mei tahun ini pula, kemalangan yang sama berlaku di Tumpat, Kelantan. Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun yang tertinggal dalam kereta meninggal dunia ketika warisnya menghadiri satu urusan pengkebumian.

Daripada peristiwa anak 3 tahun yang sesak nafas kerana tertinggal di dalam kereta, anak 3 tahun dilarikan penjahat dalam kereta yang ditinggalkan sementara dengan enjin dibuka, bayi 16 bulan meninggal dunia setelah terkena air minuman panas, bayi 2 bulan mati tersedak susu ibu, budak 2 tahun lemas dalam mangkuk tandas, budak 5 tahun mati tersepit besi kaki meja lipat, bayi 10 bulan mati tercekik buah langsat sehinggalah anak kecil mati digelek kenderaan yang diundur saudara di laman rumah sentiasa menjadi ingauan masyarakat.

Persoalan yang timbul, jika seorang dewasa berada di saat-saat kecemasan yang boleh meragut nyawa, sudah tentu mereka melompat segera menyelamatkan diri. Sebagai contoh, cermin kereta boleh dipecah-pecahkan dengan segera. Tetapi apakah daya seorang anak kecil? Secara praktikalnya, perlindungan dan keselamatan mereka terletak semata-mata di tangan golongan dewasa khasnya ibu bapa. Jadi di sinilah peranan golongan dewasa perlu dilihat dan diberi perhatian.

Hakikatnya, kemalangan tetap berlaku tetapi sejauh manakah golongan dewasa dan ibu bapa bertindak mengurus risiko agar kemalangan dapat dielakkan atau pun kemalangan yang berlaku dapat dikurangkan kesannya? Jadi, salah satu aspek masyarakat perlu ada ialah mempunyai kesedaran dan maklumat pengurusan risiko yang baik serta tahap keprihatinan yang tinggi terhadap keselamatan anak-anak kecil. Ini merupakan satu tuntutan samada daripada aspek ketemadunan manusia dan juga agama.

Dalam agama Islam, umatnya diingatkan agar memelihara keselamatan anak dan ahli keluarga mereka. Hadis nabi SAW seperti yang diriwayat imam Bukhari menegaskan bahawa golongan dewasa dan ibu bapa termasuk dalam kalangan orang bertanggungjawab terhadap sesiapa yang berada di bawah penjagaan mereka. Dalam al-Quran ayat 9 surah al-Mu'minun, Allah SWT menyifatkan orang yang beriman ialah mereka menyempurnakan amanah dan tanggungjawab. Maksud ayat tersebut "Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya".

Dalam perbahasan fiqh, ulama menyatakan jika dengan sesuatu perkara itu tidak dapat menyempurnakan tuntutan kewajipan, maka sesuatu perkara itu turut menjadi wajib. Dalam isu perbincangan kita ini, mengurus risiko agar dapat mengelakkan kemalangan anak-anak juga menjadi satu tuntutan untuk dilaksanakan.

Pengurusan risiko ini bertepatan dengan perbahasan ilmu usul fiqh dalam bab saddud zaraie' yang membawa maksud menghalang atau menghapus perkara yang dibimbangi akan menjerumus kepada perkara yang haram atau kebinasaan.

Golongan dewasa dan ibu bapa boleh menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan dalam mengurus risiko keselamatan kanak-kanak mengikut pelbagai situasi dan keadaan. Sumber maklumat dan pendekatan untuk mencegah kemalangan boleh dirujuk dari pelbagai sumber samada pakar individu, agensi kerajaan dan NGO berkaitan.

Dalam zaman kecanggihan teknologi maklumat, kemudahan internet contohnya memudahkan masyarakat mencari dan menambahkan lagi pengetahuan
tentang panduan keselamatan dalam usaha mereka memenuhi tanggungjawab menjaga keselamatan kanak-kanak. Dengan maklumat yang betul, mereka dapat bertindak secara sewajarnya sehingga boleh mengelakkan kemalangan.

Untuk menyebarkan penerangan dan panduan mengurus risiko keselamatan kanak-kanak dengan lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat, media seperti radio dan televisyen serta akhbar boleh digunakan secara meluas dan berterusan.

Di samping itu, kaedah mengurus risiko keselamatan kanak-kanak termasuklah juga menyediakan perlindungan takaful untuk mereka. Dengan perlindungan takaful kemalangan umpamanya, ia menyediakan dana sehingga ada yang mencecah puluhan ribu ringgit untuk membiayai kos rawatan sebarang kemalangan yang menimpa anak-anak kita khasnya yang memerlukan kos rawatan tinggi.

Semua peristiwa kemalangan yang telah menimpa kanak-kanak seperti yang kita lihat perlu diambil iktibar sebaik-baiknya. Kemalangan akan lebih mudah terjadi jika kita mengambil sikap mudah dalam soal menguruskan risiko keselamatan kanak-kanak. Dengan kesedaran dan memenuhi tuntutan agama maka sudah tentu golongan dewasa khususnya ibu bapa dan anggota masyarakat akan mengutamakan langkah pencegahan dan mengambil maklum dengan pelbagai pendekatan dalam menjaga keselamatan anak-anak sepanjang masa dalam apa jua keadaan sekali pun.

Wednesday, June 1, 2011